nepotisme anwar
Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin memuji tindakan kerajaan Thailand pimpinan Srettha Thavisin yang menurunkan harga 151,676 barangan sehingga 87 peratus.

Menurut Hamzah, walaupun baharu menjadi Perdana Menteri, Thavisin terus melakukan sesuatu yang terbaik untuk rakyat dan negaranya tanpa perlu menabur berjanji.

Beliau mendakwa, tidak seperti Thavisin pemimpin kerajaan di Malaysia hanya pandai berjanji.

“Srettha Thavisin baru saja memimpin Thailand penghujung Ogos lalu tetapi terus melakukan sesuatu yang terbaik untuk rakyat dan negaranya tanpa perlu berjanji bulan bintang serta tidak pula beliau menuding jari ke sana-sini seperti mana berlaku di Malaysia ketika ini.

“Di Malaysia walaupun kerajaan berjanji menyelesaikan kenaikan harga barang dalam masa dua minggu tapi sampai sekarang tak kunjung selesai. Janji tinggal janji,” katanya.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional itu berkata, Thavisin adalah contoh pemimpin yang tahu bagaimana untuk melakukan yang terbaik untuk rakyat.

Justeru katanya, rakyat Malaysia perlu menghayati pantun Melayu yang mengingatkan bagaimana untuk memilih seorang pemimpin dan ciri-ciri seorang yang diperlukan.

“Kalau hendak memilih cincin, pilih cincin seukuran jari, kalau hendak memilih pemimpin, pilih pemimpin tahukan diri….

“Kini masalah bekalan beras dan gula pula melanda. Ringgit menjunam dan terus menjunam semalam RM4.73 (berbanding dolar).

“Inilah bezanya bila seseorang yang tahu buat kerja memimpin negara berbanding seseorang yang sekadar pandai cakap saja. Makanya, eloklah rakyat Malaysia menghayati pedoman orang tua-tua,” katanya.

Media perdana Thailand, Bangkok Post melaporkan, harga lebih 150,000 produk dan perkhidmatan dipotong sebanyak 87% berkuat kuasa serta-merta sehingga akhir Disember.

Dasar itu dilaksana untuk mengurangkan perbelanjaan, menambah pendapatan dan mengembangkan peluang perniagaan dengan 288 operator peniagaan bersetuju dengan polisi tersebut.

Produk dikategorikan kepada tiga kumpulan iaitu makanan dan minuman termasuk makanan diproses, beras, perasa dan minuman.

Barangan keperluan seperti peralatan elektrik, hiasan rumah, alatan, ubat-ubatan dan bekalan perubatan dan pertanian, termasuk baja, bahan kimia pertanian dan makanan haiwan.-MalaysiaGazette