KUALA LUMPUR – Firma guaman mewakili Tan Sri Muhyiddin Yassin, Rosli Dahlan & Saravana Partnership (RDS) mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dapat mengakses sebarang dokumen sulit berkaitan anak guamnya.
Rosli mendedahkan seramai 12 pegawai SPRM hadir ke firma mereka dan mendesak mahu menggeledah pejabat selain akses kepada dokumen sulit.
Bagaimanapun, pihaknya telah memaklumkan bahawa perkara tersebut tidak boleh dilakukan di bawah Sesyen 46 SPRM.
“Kami beritahu pegawai SPRM itu mengenai kedudukan firma guaman di sisi undang-undang di mana dokumen anak guam adalah sulit dan tidak boleh dirampas oleh SPRM menurut Seksyen 46 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” kata Rosli dalam kenyataan.
Seksyen 46(2) menyatakan bahawa seorang peguam tidak diwajibkan untuk menyerahkan dokumen jika ia sulit dan untuk digunakan dalam prosiding yang sedang berlangsung.
Difahamkan satu sumber mendakwa, tindakan SPRM itu bukannya serbuan tetapi lawatan susulan sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan ketika ini.
Untuk makluman Rosli peguam utama dalam kes saman fitnah yang difailkan Muhyiddin terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kenyataannya berhubung pelupusan hutang peneroka Felda.
Rosli juga merupakan bekas peguam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa menyeleweng RM2.3bilion ketika ini di Mahkamah Tinggi KL. – alaysiaGazette