Pementasan Teater Muzikal Lantai T Pinkie karya Sasterawan Negara Datuk Seri S Samad Said arahan Dr. Rosminah Tahir di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP KL. Foto QURRATU AINI, 6 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Nyai Sunarti Renko lakonan Nabila Huda benar-benar hidup dalam pementasan semula teater muzikal Lantai T. Pinkie bermula malam tadi.

Watak yang ditulis oleh Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dalam karya agung Lantai T. Pinkie menjadi tumpuan khalayak yang menontonnya di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tanpa membandingkan dengan pelakon lain yang pernah memegang watak itu, ramai penonton yang berpendapat Nabila Huda berjaya menjiwai watak gadis penari yang menemani pengunjung lelaki di kelab malam Bunga Joget Moden di Singapura.

Pementasan Teater Muzikal Lantai T Pinkie karya Sasterawan Negara Datuk Seri S Samad Said arahan Dr. Rosminah Tahir di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP KL. Foto QURRATU AINI, 6 OKTOBER 2023.

Keresahan dan kesengsaraannya sebagai perempuan simpanan Belanda yang mengharap tuannya, Van Klinkert Delarosa pulang berjumpa dengannya setelah ditinggalkan bertahun-tahun kerana perang dapat dirasai oleh penonton.

Babak beliau memakai pakaian Jawa dan bermonolog, bernyanyi serta menari benar-benar menyakinkan penonton dia adalah Nyai Sunarti seorang gadis dari kepulauan itu yang ‘terseksa’ dengan kehidupan yang dilalui.

Sebaik babak itu tamat penonton memberikan tepukan gemuruh kerana emosi yang berjaya disampaikan dengan baik.

BACA: Lantai T. Pinkie dipentaskan kali keenam selepas 17 tahun

Jika sebelum ini media melaporkan Nabila Huda tidak tidur lena kerana mahu menghayati watak Nyai Sunarti, melihat lakonannya itu ternyata ‘pengorbanannya’ membuahkan hasil.

Pelakon lain turut tidak mengecewakan termasuk Zera Hariz (T. Pinkie), Faysal Saad (Muhairi muda), Carolyne Kamba (Puteh Su), Linda Nanuwil (Siti Udaya) Datuk Jalaluddin Hassan (Jongkiding Jaroi) dan Datuk Tamimi Siregar (Muhairi tua).

Pementasan Teater Muzikal Lantai T Pinkie karya Sasterawan Negara Datuk Seri S Samad Said arahan Dr. Rosminah Tahir di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP KL. Foto QURRATU AINI, 6 OKTOBER 2023.

 

Naskah Lantai T. Pinkie diterbitkan pada 1996 dan telah dipentaskan sebanyak enam kali memaparkan penderitaan wanita yang bekerja sebagai penari joget.

Falsafahnya antara lain memaparkan bahwa kecantikan bagi seorang wanita boleh mendatangkan kebaikan dan keburukan.

Sepanjang pementasan penonton dihiburkan dengan lagu yang dicipta oleh Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau Pak Ngah.

Penonton juga kagum dengan kostum yang dipakai terutama baju kebaya yang diperagakan oleh watak gadis penari.

Siti Rohaya Atan dan Dr. Rosminah Mohd. Tahir bertindak sebagai penerbit dan pengarah.

Penerbit Teater Muzikal Lantai T Pinkie bercakap pada media setelah selesai Pementasan Teater Lantai T Pinkie karya Sasterawan Negara Datuk Seri S Samad Said arahan Dr. Rosminah Tahir di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, KL. Foto QURRATU AINI, 6 OKTOBER 2023.

Muzikal Lantai T. Pinkie menemui khalayak hari ini dan esok dengan Siti Rohaya berkata, pihaknya tidak bercadang untuk memanjangkan hari pementasan.

“Kita takkan sambung. Saya lebih suka biar orang tergantung. Mungkin kita buat tahun depan.

“Saya bercadang untuk membawa pementasan ini ke Sarawak kerana cerita ini bermula di Teluk Melano, Sarawak di mana watak Loiran Sindhu (Ewan Fauzi) bertemu dengan Muhairi tua (Datuk Tamimi Siregar).

“Cerita ini membabitkan lokasi di Singapura pada tahun 1940-an, kemudian Tanah Melayu dan diakhiri di Sarawak,” katanya.

Siti Rohaya berkata, beliau tidak pasti sama ada akan mengekalkan pelakon yang sama dalam pementasan naskah itu tahun hadapan.

Menurutnya, tiket untuk hari ini dan esok berjumlah 500 bagi setiap pementasan telah pun habis terjual kecuali bagi sesi terakhir malam esok yang tinggal 10 peratus tempat duduk sahaja lagi.- MalaysiaGazette