Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Emiriah Arab Bersatu, Pemerintah Abu Dhabi, Syeikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan di Istana Presiden, Abu Dhabi, 5 October, 2023. - SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri

ABU DHABI – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan beliau ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai membuahkan hasil yang baik dengan berjaya menarik komitmen pelaburan berjumlah RM40.6 bilion (US$8.6 billion) .

Beliau berkata kini terpulang kepada pimpinan kerajaan serta kementerian dan agensi terbabit untuk menjadikannya realiti yang pada akhirnya akan menguntungkan negara dan rakyat.

Katanya pelaburan terbesar adalah melalui pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) iaitu di antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Majlis Pelaburan Antarabangsa UAE (UAEIIC) berhubung kerjasama bagi menggalakkan pelaburan serta MIDA dan dan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC-Masdar berhubung projek-projek tenaga boleh diperbaharui di Malaysia dengan kapasiti sehingga 10 gigawatt bernilai US$8 bilion.

“Saya juga mahu memberi penekanan kepada bidang Kecerdasan Buatan (AI) kerana UAE telah mencapai kemajuan yang menakjubkan dalam bidang ini. Masdar City dibangunkan secara canggih, moden dan memenuhi keperluan hijau dan kewujudan universiti bertaraf dunia, Mohamed bin Zayed University of Artifical Intellegence (MBZUAI), yang pertama mengkhususkan bidang AI.

“Mereka (MBZUAI) memberi laluan untuk bekerjasama dengan Malaysia dan universiti-universiti tempatan serta pelajar-pelajar Malaysia untuk belajar di sana bagi program siswazah,” katanya kepada media Malaysia di akhir lawatan kerja dua hari beliau ke UAE di sini hari ini.

Anwar berkata sepanjang lawatan kerja itu, beliau berkesempatan bertemu dengan ramai tokoh-tokoh penting di UAE yang mewakili sektor ekonomi, perdagangan dan pelaburan termasuk Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dan beberapa menteri kanan.

Perdana Menteri turut bertemu dengan  pemegang taruh dana kekayaan berdaulat UAE, Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) dan syarikat-syarikat perniagaan terbesar di UAE seperti Mubadala, Lulu Group International, Aldar dan ILC.

Selain Masdar, komitmen pelaburan lain adalah dalam sektor logistik yang bernilai US$450 juta dan sektor aeroangkasa bernilai US$150 juta.

Perdana Menteri juga turut berinteraksi dengan 35 pemain industri utama UAE semasa sesi Meja Bulat bertajuk “Roundtable Meeting with the Captains of Industry in the UAE”, selain pertemuan dengan Syarikat G42 yang mempunyai kepakaran dalam bidang AI.

Mengulas pertemuan dengan Presiden UAE, Anwar berkata pertemuan di antara mereka berlangsung lebih lama dari yang dirancang iaitu kira-kira satu jam.

“Pada pertemuan itu memang saya menekankan isu-isu ekonomi, perdagangan dan pelaburan. Sebagai sesama negara Islam, kita membincangkan soal diplomatik dan isu-isu serantau dunia Arab dan Asia,” katanya.

— BERNAMA

 

TAG: