foto HAZROL ZAINAL, 25 MAC 2019.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) mencadangkan supaya gaji permulaan konstabel (YA1) dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM)  melebihi kadar gaji minimum berdasarkan tugas dan tanggungjawab mereka.

Presidennya Datuk Mokhtar Omar berkata, tangga gaji yang sedia ada dinikmati oleh anggota PDRM kategori tersebut adalah amat rendah berbanding tugas yang dilakukan mereka di lapangan.

“Saya bersetuju sangat dan mengalu-alukan apa yang disebut dan disarankan oleh Tan Sri Razarudin Husain semalam dalam isu penyelarasan tangga gaji minimum RM1,500 kepada kerajaan.

“Bayangkan mereka (anggota rendah) termasuk konstabel menjaga keamanan dan ketenteraman negara, sehingga ada yang terpaksa meninggalkan isteri dan anak di kampung demi menggalas tugas menjamin ketenteraman awam dan keamanan negara terus terpelihara.

“Ada juga  yang bertarung nyawa membanteras jenayah demi keselamatan rakyat, maka penyelarasan tangga gaji yang lebih daripada minimum wajar dipertimbangkan segera demi memelihara kebajikan mereka yang ditekan kenaikan kos sara hidup semasa,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Menurut Moktar, selain daripada penyelarasan dengan gaji minimum yang dicadangkan, kerajaan juga wajib mempertimbangkan suatu gaji permulaan yang istimewa khusus untuk warga PDRM.

Beliau berkata, ia secara tidak langsung akan dapat mempertingkatkan semangat setiap anggota di tempat kerja.

“Selain itu, ia juga akan membina anggota polis yang penuh berintegriti, cekap dan telus dalam melaksanakan profesion polis kepada rakyat sejajar dengan tema Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

“Penyelarasan gaji minimum yang dicadangkan itu bukan hanya akan memanfaatkan anggota dari segi menghadapi kos sara hidup sahaja maka ia juga akan memberi nafas lega kepada anggota bawahan iaitu Konstabel khususnya yang bertugas di bandar besar,” tegasnya.

Terdahulu, Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat juga senada dengan saranan Razarudin menyatakan keyakinannya bahawa cadangan menyelaraskan gaji minimum polis dengan RM1,500 untuk penjawat awam akan menjaga kebajikan anggota pasukan keselamatan utama negara itu.

Bercakap kepada pemberita di Ulu Kinta Ipoh Perak semalam, Razarudin mendedahkan bahawa tangga gaji permulaan anggota polis berpangkat konstabel ketika ini berada di bawah paras pelaksanaan gaji minimum RM1,500 iaitu RM1,441.

Beliau mencadangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar skim gaji permulaan bagi Konstable (YA1) diselaraskan dengan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast