KUALA LUMPUR – Sebuah kilang perabot musnah dalam kebakaran di Sungai Puloh, Klang awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejdian itu pada jam 11.31 malam tadi.
Katanya, bertindak atas maklumat sepasukan 30 pegawai dan anggota bomba serta jentera pemadam dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar, BBP Andalas, BBP Sungai Pinang, BBP Kota Raja dan BBP Petaling Jaya digerakkan ke lokasi di Lorong Sunagi Puloh 8, Kawasan Perindustrian Sungai Puloh di Kapar.
“Setelah tiba di lokasi mendapati kebakaran melibatkan sebuah bangunan kilang pengeluaran perabot terbakar 45 peratus di tingkat tiga,” katanya dalam kenyataan pagi ini.
Tambah beliau, anggota yang berada di lokasi berjaya mengawal api sepenuhnya pada jam 12.15 pagi sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 12.40 pagi oleh anggota bomba.
“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,” tegasnya. – MalaysiaGazette