KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor akan meneliti cadangan bagi membangunkan penempatan kepada anak-anak Selangor yang menyambung pengajian di Mesir demi keselesaan mereka.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penelitian berkaitan langkah itu akan dilakukan bersama agensi berkaitan.
“Insya-Allah Kerajaan Selangor akan berikhtiar bersama-sama agensi lain seperti Jais bagi membangunkan asrama buat manfaat anak-anak Selangor yang menuntut ilmu di Mesir.
“Kita cakna dan prihatin akan kebajikan para mahasiswa Selangor kerana merekalah masa depan yang akan memimpin negeri ini, Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau yang melakukan lawatan kerja di sana mulai semalam memaklumkan, ikhtiar tersebut dilaksanakan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk manfaat pelajar.
Sebelum itu, beliau melakukan kunjungan hormat ke Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Mesir selain, bertemu mantan Mufti Agung Mesir Syeikh Professor Dr Ali Jum’ah di kediamannya.
Amirudin dijadual mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Kedutaan Besar Malaysia Amman dan merasmikan pembukaan Konvensyen Mahasiswa Selangor Timur Tengah 2023 esok.
Beliau turut dijadual mengadakan pertemuan bersama penasihat utama Raja Abdullah, Putera Ghazi Muhammad dan menghadiri majlis ramah mesra bersama diaspora Malaysia di Jordan.
Pada 11 Oktober, Amirudin dijadual menyertai bual bicara Mahasiswa Selangor di Jordan, melawat penempatan pelajar dan merasmikan penutupan Konvensyen Mahasiswa Selangor Timur Tengah 2023. – MalaysiaGazette