KUALA LUMPUR – Umat Islam dan Kristian di seluruh dunia diseru untuk bergabung bagi menuntut pembebasan ke atas Masjidil Aqsa dan semua tempat-tempat suci di Baitul Maqdis.
Malah, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) digesa untuk mengadakan mesyuarat tergempar bagi mengeluarkan nota solidariti kepada pejuang kemerdekaan Palestin, kata kenyataan bersama yang dikeluarkan Pertubuhan Himpunan Solidariti Selamatkan Palestin.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid yang mengetuai pertubuhan itu berkata, sudah lebih tujuh dekad kekejaman yang tidak berkesudahan telah dilancar oleh tentera pendudukan Israel terhadap rakyat Palestin.
Namun katanya, tindakan yang berkesan oleh masyarakat antarabangsa tidak dilihat berlaku.
“Sejak Perjanjian Oslo, realitinya bertambah buruk. Gerakan penentangan adalah satu-satunya kekuatan yang menggerunkan untuk mencabar tentera Zionis.
“Kami memberikan sokongan penuh kepada objektif Operasi Tawafan untuk melindungi Masjidil Aqsa.
“Usaha berterusan Zionis untuk mencemarkan masjid itu perlu dibalas dengan segala cara daripada semua umat Islam,” katanya hari ini.
Mohd Azmi berkata, pihaknya menyokong serangan Hamas dan penaung Palestin lain semalam ke atas Israel di wilayah Palestin yang diduduki Zionis itu.
Katanya, tanggapan Israel bahawa ia berperang dengan Hamas bukanlah sesuatu yang baru.
Ini kerana katanya, Israel tidak pernah berdamai dengan Palestin sejak pencerobohannya dan telah mencetuskan perang terhadap rakyat Palestin sejak hari pertama kewujudan Zionis.
Beliau menjelaskan, keupayaan pejuang kemerdekaan Palestin yang belum pernah berlaku sebelum ini untuk melancarkan serangan yang tidak dijangka sedemikian adalah isyarat jelas bahawa Zionis Israel adalah penjajah yang terdedah kepada tindakan balas pejuang Palestin.
Tegasnya, rakyat Palestin mempunyai semua keazaman dan keupayaan untuk melancarkan serangan balas.
Beliau menambah, Operasi Tawafan (Operasi Banjir Al Aqsa) yang dilancarkan oleh Hamas bersama pejuang Al Qassam, Jihad Islam, Al Quds dan batalion Jenin adalah tindakan balas terhadap penjajahan tentera Zionis selama berpuluh-puluh tahun dan penjajahan penempatan di bumi Palestin.
Katanya, ia bagi menunjukkan keupayaan pejuang Palestin untuk menyusup ke dalam pertahanan Zionis yang ada kawalan keselamatan 24 jam dan seharusnya membuka mata Israel bahawa ia tidak boleh menganggap dirinya kebal.
“Hamas telah memalukan Israel kerana dianggap mempunyai rangkaian perisikan yang paling canggih.
“Pengabaian banyak negara Arab dalam perjuangan Palestin tidak mematahkan semangat penentangan.
“Gerakan penentangan telah melahirkan kepimpinan baru yang semakin teguh dan kreatif dalam menghadapi persenjataan Israel yang canggih,” ujarnya.
Katanya lagi, kekejaman Israel di Gaza yang terkepung dan wilayah Tebing Barat yang ditakluki, ditambah pencarian global untuk membunuh pemimpin gerakan penentangan Palestin adalah jenayah Hamas memberi ligitimasi penentangan oleh gerakan bersenjataHamas untuk melancarkan serangan balas.
Operasi itu katanya adalah tindakan balas yang berani untuk mengubah status quo yang menyaksikan Israel sering dilihat menang dalam banyak konfrontasi.
Beliau berkata, Israel telah menimbulkan penderitaan yang mengerikan ke atas rakyat Palestin baik Muslim dan Kristian di tanah yang diduduki selama lebih tujuh dekad.
“Namun, gerakan penentangan telah mengumpulkan lebih banyak kekuatan untuk bertahan.
“Serangan itu telah menghantar mesej kuat bahawa perjanjian normalisasi dengan Israel oleh beberapa negara Arab tidak akan diterima oleh rakyat Palestin,” tambahnya.
Justeru tegas beliau, pihaknya menyatakan solidariti gerakan penentangan dan menyeru semua umat Islam dan pemimpin Islam di seluruh dunia untuk menyokong perjuangan membebaskan Palestin. – MalaysiaGazette
Syabas Azeris ambil balik Nagorno-Karabah setelah sekian lama PBB gagal.