Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bermula 9 pagi esok – sebanyak 338 kawasan di Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat dijangka mengalami gangguan bekalan air berjadual.

Gangguan itu susulan pelaksanaan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat, kata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Katanya, kerja penyelenggaraan dijangka akan siap pukul 7 malam pada hari sama dan bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya 12 tengah hari pada 12 Oktober ini.

“Bekalan air juga dijangka akan mula disalurkan kepada pengguna secara berperingkat selepas kerja penambahbaikan dan penyenggaraan siap dan seterusnya apabila sistem agihan utama bekalan air sudah distabilkan,” kata Air Selangor dalam kenyataan hari ini.

Sebanyak 37 kawasan terjejas di Petaling, Kuala Lumpur (201) dan Hulu Langat (100).

Air Selangor juga memaklumkan, lori tangki air akan digerakkan ke kawasan terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis yang kritikal.

Syarikat itu juga menasihatkan pelanggan yang terjejas supaya menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.

“Bagi pelanggan komersial pula, bekalan air terawat boleh dibeli di kaunter khidmat pelanggan di seluruh wilayah Air Selangor.

“Bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di dua stesen pengisian air yang akan dibuka di Sunway Batu Caves dan Selayang Mutiara,” katanya.

Turut dimaklumkan, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.

“Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. – MalaysiaGazette