Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution bercakap kepada media selepas Sesi Libat Urus KDN Bersama Badan Pengurusan Keharmonian Agama di Dewan Gemilang, Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 09 OKTOBER 2023.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri akan mempersembahkan keputusan sesi libat urus badan pengurusan keharmonian agama berkaitan isu penggunaan perkataan kalimah ‘Allah’ kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada akhir Oktober ini.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan itu akan diambil susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes Jill Ireland yang telah menjadikan arahan pentadbiran sebelum ini tidak boleh diguna pakai selepas ini.

“Kita akan mempersembahkan segala keputusan hasil sesi libat urus hari ini kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan bersidang bermula 25 hingga 27 Oktober ini untuk mendapatkan nasihat.

“Sebarang input yang akan diperolehi dalam mesyuarat MRR, pandangan dan nasihat yang diperolehi kelak akan digunakan KDN untuk dinilai sebagai garis panduan untuk mendraf dan merangka arahan pentadbiran baharu.

“Sejurus selepas diluluskan, arahan pentadbiran baharu itu akan diusul untuk mengukuhkan komitmen Malaysia kepada keharmonian agama dan kecemerlangan pentadbiran,” katanya selepas menghadiri sesi tadbir urus keharmonian agama kelima dan terakhir di Dewan Gemilang hari ini.

Sesi libat urus itu  disertai wakil-wakil agama yang terdiri daripada agama Islam, Buddha, Taoism, Hindu, Kristian dan beberapa budaya kepercayaan lain.

Turut hadir Timbalan Menteri KDN Datuk Seri Shamsul Annuar Nasarah.

Tambah beliau, rentetan keputusan mahkamah itu, wujud keperluan penting untuk KDN melalui pelbgai agensi betugas di lapangan untuk menyelesaikan perkara berkaitan isu penerbitan bahan-bahan agama.

Mahkamah Tinggi dalam keputusanya pada Mac 2021 membabitkan KDN dalam 1986 melarang bukan Islam menggunakan perkataan Allah, Baitullah, Kaabah sebagai haram dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Manakala Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Nor Bee Ariffin yang menjadi panel Hakim Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu selepas konflik perundangan itu yang berlarutan selama 13 tahun antara kerajaan dan Jill Ireland seorang wanita Kristian dari Sarawak.- MalaysiaGazette