Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil beramah mesra dengan posmen yang menggunakan kenderaan elektrik pada Majlis Sambutan Hari Pos Sedunia 2023 di Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 09 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menafikan dakwaan bekas Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming yang mendakwa kerajaan memberikan kontrak rangkaian 5G kedua kepada gergasi telekomunikasi China, Huawei secara rundingan terus.

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Ahmad Fahmi Fadzil yang menafikan perkara itu berkata, setakat ini,  belum ada apa-apa bidaan dibuka buat masa ini untuk projek berkenaan.

“Saya boleh katakan pada waktu ini belum ada apa-apa. Jadi mungkin Ong Kian Ming terlalu ke hadapan. Kita masih di tahun 2023 dan dia sudah di tahun 2024,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis sambutan Hari Pos Sedunia di Pos Malaysia hari ini.

Ahmad Fahmi menjawab kenyataan Kian Ming yang mempersoalkan langkah kerajaan memberikan kontrak rangkaian 5G kedua kepada Huawei secara rundingan terus.

Kian Ming sebelum ini berasa terkejut kerana pemberian kontrak tersebut sepatutnya dilakukan melalui tender terbuka bukan secara rundingan terus dengan mana-mana entiti tunggal.

Malah , katanya, antara perkara pertama dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dilantik sebagai perdana menteri adalah mengarahkan siasatan penuh mengenai kontrak rangkaian 5G sedia ada yang diberikan kepada Ericsson melalui Digital Nasional Bhd (DNB).

Tambahnya, meskipun penyiasatan lanjut mendapati kontrak berkenaan diberikan secara telus namun reputasi kerajaan akan tercalar sekiranya tiada sebarang tender atau proses perolehan yang telus dibuat bagi melaksanakan rangkaian 5G dwitunggal.

Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi berkata, kenyataan Perdana Menteri yang kerajaan membenarkan Huawei dari China memecahkan monopoli DNB milik kerajaan terhadap rangkaian 5G hanya berkisar mengenai majlis penutup Sidang Kemuncak Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) Malaysia 2023 sahaja.

“Saya hadir di majlis sewaktu Perdana Menteri ada menyebut. Itu adalah program yang dikelolakan oleh Huawei maka PM yang disebutkan itu adalah dalam konteks majlis itu.

“Sekiranya ada mana-mana pihak yang ingin membuat bidaan bila tiba masanya nanti terbuka.

“Ia adalah aspek komersial dan sama seperti yang dilalui oleh DNB ia bergantung kepada bila kita wujudkan entiti kedua 5G semestinya Ahli Lembaga Pengarah akan buat keputusan yang bersikap komersial.

“Jadi ia bergantung kepada sesiapa sahaja yang boleh tawarkan harga yang paling mudah dan itulah pemenangnya,” jelas Fahmi lagi.

Media hari ini melaporkan Kian Ming sebagai berkata, keperluan untuk rangkaian 5G kedua belum dapat dibuktikan dengan kukuh kerana DNB dilihat telah melakukan usaha yang baik dalam melaksanakan rangkaian 5G.

Malah, katanya, Malaysia turut diperakui sebagai salah satu negara dengan kelajuan 5G yang paling laju di dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast