Dua suspek termasuk wanita Indonesia ditahan bantu siasatan penemuan bahan letupan buatan sendiri di Flat Taman Pandan, Butterworth, Pulau Pinang.

BUTTERWORTH – Seorang lelaki tempatan dan wanita Indonesia ditahan polis bagi membantu siasatan penemuan bahan letupan buatan sendiri (IED) di Flat Taman Pandan di sini, semalam.

Tangkapan ke atas suspek lelaki berusia 32 dan rakan serumahnya, 37, tahun itu dilakukan selepas pihak polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan terdengar bunyi letupan sebelum menemui satu bungkusan IED di kaki lima tingkat empat flat berkenaan pada jam 1.05 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, bertindak atas maklumat sepasukan polis termasuk Unit Pemusnah Bom (UPB), Unit Anjing Pengesan (K9), forensik bergegas ke lokasi kejadian.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat bahan IED yang lengkap untuk kegunaan merosakkan struktur bangunan atau membunuh.

Pihak polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

“Susulan itu, hasil risikan polis Bahagian Siasatan Jenayah dan D9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dan Daerah Seberang Perai Utara membawa kepada tangkapan seorang lelaki tempatan di bawah flat berkenaan pada jam 8.30 malam.

“Berpandukan maklumat suspek, pihak polis serbu rumah sewanya di tingkat empat flat berkenaan sebelum menemui satu IED, pistol buatan sendiri, kerambit serta peralatan yang dipercayai digunakan untuk membuat bahan letupan tersebut.

“Selain itu, kita turut menahan seorang wanita warga asing yang merupakan rakan serumah suspek bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Mohd Asri, hasil soal siasat suspek mengaku belajar membuat bahan letupan serta pistol itu menerusi internet manakala bahan-bahan pula diperoleh menerusi platform e-dagang.

Difahamkan, suspek telah cuba meletupkan IED yang dihasilkan beberapa kali dan percubaan yang berjaya semalam itu disedari jirannya.

“Siasatan berhubung tujuan pembuatan itu masih dalam siasatan namun mereka ini tidak ada penglibatan dalam kegiatan kumpulan pengganas.

“Selain itu, semakan juga mendapati kedua-dua suspek tiada rekod jenayah serta bebas pengaruh dadah.

“Kedua-dua pekerja kilang itu direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957, Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya. – MalaysiaGazette