Gambar hiasan

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyeru semua masjid dan surau di Selangor bersolidariti dengan melaksanakan solat hajat selepas solat fardu maghrib atau isyak serta bacaan Qunut Nazilah serta-merta, selama tujuh hari berturut-turut bagi mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin.

Pengarahnya Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata seruan itu dibuat bagi mengharapkan bantuan daripada Allah agar rakyat Palestin diberikan kekuatan dan keyakinan untuk terus mempertahankan kedaulatan tanah suci Baitulmuqaddis daripada cengkaman imperialisme.

“JAIS mengutuk sekeras-kerasnya tindakan serangan terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza. JAIS menyokong penuh apa juga tindakan rakyat Palestin dalam mempertahankan maruah dan tanah air Baitul Aqsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Semoga kemenangan dan keamanan buat rakyat Palestin akan tercapai dengan doa seluruh umat Islam lalu memperoleh bantuan daripada Allah,” katanya.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza, dan rejim Israel sejak 7 Okt telah mengakibatkan kehilangan ratusan nyawa kedua-dua belah pihak.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast