AMPANG – Kesan tapak kasut di permukaan pintu serta lantai di bilik setor Hospital KPJ Ampang Puteri berjaya membongkar kegiatan mencuri seorang pengawal kesihatan di premis tersebut.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada pengadu juruteknik itu mengenai insiden pecah masuk itu.
Kejadian itu berlaku di setor yang terletak di tingkat 12 hospital tersebut disedari oleh juruteknik kira-kira jam 8.50 pagi 29 September lalu.
Katanya, pada 28 September lalu pengadu warga tempatan berusia 24 tahun itu telah mengunci pintu stor itu sekitar jam 4 petang sebelum balik ke rumahnya.
“Namun, pada jam 8.50 pagi keesokan harinya, pengadu yang tiba di hadapan stor terkejut selepas mendapati pintu stor berkenaan telah dipecahkan.
“Pengadu kemudian telah masuk ke dalam sebelum mendapati keadaan di dalam stor berselerak dan ada barang-barang yang hilang sebelum pengadu menemui kesan tapak kasut pada permukaan pintu serta lantai di setor tersebut,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambah beliau, bertindak atas aduan pengadu itu, pada 30 September lalu jam lebih kurang 1.30 tengah hari sepasukan pihak polis JSJ IPD Ampang Jaya telah berjaya membuat tangkapan terhadap seorang lelaki tempatan berumur 43 tahun disyaki terlibat dalam jenayah tersebut.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek bekerja sebagai pengawal keselamatan di bilik kawalan Hospital KPJ Ampang Puteri tersebut.
“Hasil tangkapan suspek berjaya membawa polis kepada rampasan sepasang kasut, sehelai baju kemeja, sehelai seluar jeans, sehelai sweater, topi, sebatang kunci kereta, sebatang besi torch api, sebotol cecair dan sebuah kereta mewah jenis BMW milik suspek yang digunakan selama 10 tahun lalu .
“Siasatan awal polis mendapati suspek menggunakan modus operandi dengan menyasarkan kawasan bilik simpan barang dalam hospital dan dalam kejadian itu barang perkakasan hospital milik KPJ seperti water jet, hampagas, troli besi dan cecair pembersih antara yang dirampas daripada suspek,” katanya lagi.
“Suspek telah direman sejak 30 September lalu di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah premis untuk polis melengkapkan siasatan dan telah didakwa hari ini serta dikenakan denda RM3,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ampang,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















