Anggota bomba mengikat buaya yang tersangkut dalam tajur di Kampung Rantau Panjang, Bestari Jaya. Foto: Bomba Selangor.

KUALA LUMPUR – Seorang nelayan terkejut menemui seekor buaya dalam tajur yang dipasang untuk menangkap ikan di Kampung Rantau Panjang, Bestari Jaya, Kuala Selangor hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, bilik gerakan operasi bomba negeri menerima panggilan mengenai insiden itu pada jam 9.37 pagi tadi.

Katanya, bertindak atas maklumat itu sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya telah digerakkan ke kampung tersebut.

“Sejurus tiba di lokasi, anggota bomba mendapati terdapat seekor buaya sepanjang 2 meter telah tersangkut pada tajur yang dipasang oleh nelayan di sungai kampung itu.

“Siasatan mendapati, nelayan bernama Hafiz berusia dalam 20-an telah memasang tajur itu untuk ikan dan terkejut seekor buaya pula tersangkut dalam tajur tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, anggota bomba telah membawa naik buaya tersebut ke tebing sungai dan binatang itu diikat dengan tali yang sesuai.

“Kemudian ia dilepaskan di lokasi jauh daripada penempatan penduduk demi keselamatan komuniti kampung tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette