Penerbit, Siti Rohayah Atan (tengah) bergambar bersama barisan pelakon selepas sidang media Teater Pintar Randai “Badang” di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 10 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Pintar Randai ‘Badang’ yang bakal dipentaskan di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 13 hingga 15 Oktober ini, khas buat kanak-kanak dan remaja.

Penerbit CTRA Production, Siti Rohayah Atan berkata, pementasan randai itu dianjurkan sebagai usaha mengangkat martabat seni persembahan tradisional kepada masyarakat terutamanya generasi muda.

Katanya, pementasan randai yang dianjurkan itu adalah lebih bersifat akademik berbanding diketengahkan secara komersial seperti sebelum ini.

“Seperti yang saya katakan ini teater kecil tapi berjiwa besar. Kita cuba mengangkat kesenian tradisional randai itu dikalangan generasi muda. Sekiranya kita tidak berbuat demikian, kita takut tradisi teater randai ini akan berkubur begitu sahaja dalam kalangan mereka (generasi Gen Z).

“Kalau kita lihat orang kini sukakan teater komersial dan teater berkonsep moden ini boleh mendatangkan keuntungan. Namun sekiranya kita hanya mementingkan perkara itu saya takut yang menjadi asas kepada diri dan bangsa kita itu akan hilang begitu sahaja.

“Saya juga telah terbitkan teater Upin dan Ipin, Taman Baginda. Cerita seperti itu sudah sebati dengan jiwa saya dan apabila kita ada idea membawa satu unsur baru iaitu randai, ia sesuatu yang baru bagi diri saya,” katanya pada sidang media teater muzikal berkenaan.

Penerbit, Siti Rohayah Atan pada sidang media Teater Pintar Randai “Badang” di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 10 OKTOBER 2023.

Tambah beliau, pementasan itu juga merupakan inisiatif di bawah CTRA Production dengan kerjasama DBP dan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) 2023 oleh Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) serta Sanggar Pendeka.

Siti Rohayah turut menjelaskan ia bertujuan menyahut seruan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang mahu mementingkan aspek kemanusian, displin dan silaturrahim dalam generasi muda.

“Saya nampak Fadhlina ke mana pun dia pergi akan utamakan hal-hal begini dan peruntukan untuk teater di sekolah pula saya nampak dah semakin bagus. Jadi kita menyahutlah cabaran itu.

“Sebab kanak-kanak atau pelajar sekolah ini mereka minat pada kemanusian dan dari situ wujudnya disiplin, silaturrahim, macam mana kita menjadi manusia untuk berhubung antara satu sama lain. Itu sangat penting dan kita perlu kekalkan apatah lagi dalam keadaan sekarang,” ujarnya.

Beliau juga memaklumkan pementasan teater randai itu akan disertai seramai 11 pelajar di bawah Program Aswara Genius Kids yang berumur lapan tahun hingga 16 tahun.

Katanya, program tersebut telah dijalankan di Pusat Seni Pentas Tradisional (PUTRA) hasil didikan Juhara Ayob yang bertujuan memberi pendedahan awal kepada generasi muda berkaitan kesenian tradisional di Malaysia.

Persembahan barisan pelakon pada sidang media Teater Pintar Randai “Badang” di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 10 OKTOBER 2023.

Sementara itu, Juhara Ayob yang juga pelakon teater berkata, kesemua pelajar itu diserap ke dalam pementasan randai itu kerana mereka telah dilatih didalam bengkel yang dianjurkanya sebelum ini.

Sepanjang latihan teater Pintar Randai ‘Badang, mereka hanya mengambil masa dua minggu sahaja untuk berlatih bagi pementasan yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Mereka (11 pelajar) sebelum ini sudah ada sijil tiga bulan daripada program tersebut dan mereka datang latihan setiap hari Sabtu selama dua jam iaitu dari pukul 2 petang hingga 4 petang.

“Bila mereka sudah ada asas berkaitan lakonan dan kesenian, untuk masuk ke dalam pementasan ini kita tinggal gilap bakat mereka sahaja hanya dalam dua minggu.

“Bagi saya tiada kesukaran sebab merek semua sudah ada pengalaman dalam bengkel sebelum ini. Jadi pementasan inilah bagi mereka merasai secara realiti randai yang berkonsepkan tradisional,” jelasnya.

Antara barisan peserta terlibat dalam teater Pintar Randai ‘Badang’ adalah penyanyi dan pelakon, Zahid Baharuddin atau Zahid AF, Juhara, Eyman Hady Eyzendy, Aiman Syawal Merican Shaiful Izham, Ammar Asyraf Mohd Haizul, dan ramai lagi.

Peminat boleh mendapatkan tiket pada harga RM20 di laman sesawang di www.ilassotickets.com dan ia bakal dipentaskan pada jam 3 petang serta 8.30 malam. – MalaysiaGazette