ahmad zahid hamidi
Ahmad Zahid Hamidi (duduk, tengah) bersama exco-exco luar bandar yang menghadiri Mexclub di Kuching, Sarawak, hari ini. - Gambar: Facebook Timbalan Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beberapa perubahan drastik akan dilakukan daripada segi pelaksanaan program-program Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu, langkah itu terutamanya melibatkan pengubah keadaan yang bersesuaian dengan soal pembangunan desa.

“Ia bukan sahaja melibatkan infrastruktur dan ameniti tetapi juga penyelarasan melibatkan peruntukan projek fizikal dan ke arah pembangunan spiritual warga desa terutamanya terhadap generasi muda,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Ahmad Zahid mengulas mengenai Mesyuarat dengan Exco-Exco Luar Bandar (Mexclub) yang dipengerusikannya di Kuching, Sarawak hari ini.

Selain itu, beliau menambah, KKDW menyokong penuh pembangunan di negeri-negeri melalui peruntukan sebanyak RM7.4 bilion yang disediakan oleh Kerajaan Perpaduan untuk pembangunan desa tahun ini.

“Saya berharap agar peruntukan ini dapat dipertingkatkan dalam Belanjawan 2024 yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri Jumaat nanti, agar lebih banyak usaha dapat dilakukan oleh KKDW untuk kesejahteraan masyarakat di perdesaan,” jelasnya.

Ahmad Zahid juga berharap Mexclub akan sentiasa menjadi platform perbincangan secara konstruktif antara KKDW dan Kerajaan Negeri bagi memperkukuh persefahaman dalam melaksanakan agenda pembangunan luar bandar menjelang 2030. – MalaysiaGazette