KOTA KINABALU – Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan sebarang keterlibatan atau salah laku dalam isu perjanjian pengambilan tanah di Pulau Balambangan, Kudat , yang mencetuskan minat dan perbincangan awam yang meluas baru-baru ini.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata beliau telah mengambil pendekatan perundangan bagi menyangkal dakwaan tidak berasas itu.
“Adalah penting untuk diingat bahawa walaupun saya tidak lagi menjadi Ketua Menteri tetapi nama saya telah dikaitkan secara salah dalam urusan perjanjian ini oleh pelbagai pimpinan politik di Sabah.
“Saya ingin menegaskan bahawa saya menafikan sebarang penglibatan atau salah laku dalam kes iini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Shafie, yang juga Ahli Parlimen Semporna, berkata beliau telah melantik peguam untuk memfailkan saman terhadap pihak atau individu yang mengaitkan namanya dengan isu perjanjian tanah itu.
“Selain itu, surat tuntutan telahpun disampaikan kepada individu tersebut,” katanya.
Ini berikutan satu artikel yang dimuat naik sebuah laman Facebook mendakwa penyalahgunaan kuasa Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang meluluskan enam permohonan tanah seluas 968.4 hektar di Kudat dengan dakwaan kononnya Shafie turut dikaitkan dengan urusan tanah itu.
Kelmarin, Hajiji menafikan dakwaan tersebut dan berkata dakwaan kononnya berlaku salah guna kuasa membabitkan dirinya adalah berniat jahat, bermotifkan politik dan bertujuan memburukkan namanya.
Menurutnya, pejabatnya akan memberi kerjasama penuh terhadap sebarang siasatan yang dijalankan berhubung dakwaan berkenaan.- BERNAMA