Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 11 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan dinasihatkan agar membina loji rawatan air (LRA) di pulau-pulau bagi mengatasi peningkatan kadar air tidak terhasil (NRW) pada masa akan datang.

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan kebocoran paip berlaku di dasar laut dan menyebabkan air yang terawat  terbazir sahaja ke laut.

“Banyak loji LRA (Loji Rawatan Air) ini dibina di tanah besar bukan di pulau bermakna kita hantar ke pulau air yang sudah dirawat. Bila berlakunya kebocoran paip dibawah laut, menyebabkan kadar NRW meningkat.

“Kita hantar itu air yang telah dirawat, saya mencadangkan pembinaan LRA dibuat di pulau, bukan di tanah besar.

“Penghantaran air mentah yang belum rawat, kalau berlaku kebocoran sekalipun kadar NRW tidak akan meningkat dan kos lebih rendah berbanding kita bina loji di tanah besar,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Untuk rekod, pindaan tersebut akan melibatkan 10 peruntukan sedia ada dan dua tambahan yang bertujuan memperkasa dan memudahkan perjalanan SPAN dari segi kewangan, memendekkan tempoh khidmat anggota suruhanjaya serta meminimumkan kuasa menteri.

Semasa perbahasan, Tuan Ibrahim berkata, cadangan untuk membina loji rawatan air itu boleh dibina di pulau-pulau seperti Langkawi dan Labuan bertujuan untuk mengurangkan peningkatan NRW.

“Boleh bina sama ada di Labuan, Langkawi sebagai contoh. Macam Langkawi sekarang menghadapi masalah kritikal kerana kebocoran yang agak lama dan melibatkan kos yang agak besar untuk dibaiki,” katanya lagi. – MalaysiaGazette