KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak menarik atau membatalkan konsesi beras kepada Padiberas Nasional Berhad (Bernas) yang telah dipersetujui selama 10 tahun bermula 11 Januari 2021 hingga 10 Januari 2031.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, konsesi ini turut melibatkan 10 obligasi sosial Bernas termasuklah menyediakan stok penimbal beras negara.
Dalam pada itu, mengulas berkenaan tuduhan bahawa penguatkuasaan tidak dijalankan, KPKM menegaskan Task Force Khas Bersepadu Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) sedang berjalan.
Ia dilaksanakan melalui kerjasama rentas agensi melibatkan Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Bahagian Penguat Kuasa KPDN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan
Malaysia (MAQIS) dengan diketuai oleh timbalan menterinya, Datuk Chan Foong Hin.
Sehingga kini, terdapat dua kilang telah disita dan disiasat di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522].
Susulan itu, satu aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah dibuat bagi siasatan terperinci.
KPKM menasihati orang ramai supaya tidak mempercayai mesej palsu berkenaan dan menyeru agar perbuatan menyebarkan mesej palsu ini dihentikan. – MalaysiaGazette