KUALA LUMPUR – Malaysia perlu istiqamah dengan ketegasannya untuk mempertahankan Palestin sebagaimana diwarisi oleh semua pimpinan negara terdahulu.
Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Dr. Mohammad Fairus Khairuddin berkata, umat Islam di Malaysia menanti dan ingin melihat apakah tindakan-tindakan afirmatif daripada pihak kerajaan Malaysia untuk membantu dan membela kepentingan berdaulat sebuah negara yang merdeka dan dizalimi sejak puluhan tahun itu.
“Malaysia harus terus ke hadapan melalui pelbagai platform dalam membela maslahah dan kepentingan berdaulat Palestin yang juga merupakan suatu pertangungjawaban dari sudut keIslaman kita.
“Gerakkanlah segala usaha yang terdaya kita lakukan melalui OIC, ASEAN dan apa jua platform yang sesuai demi membela umat Islam Palestin.
“Usah hanya bersikap memeluk tubuh dan menjadi pemerhati sepi dari jauh sahaja. Umat Islam kini sesungguhnya memerlukan pembelaan bukan hanya “lip service” yang tidak berkesudahan tanpa solidariti yang sewajarnya,” katanya menerusi kenyataan.
Mohammad Fairus berkata, membela Palestin serta Masjid al-Aqsa bukan hanya suatu perjuangan yang bersifat nasionalis sebaliknya, ia suatu kewajipan yang terpikul ke atas setiap bahu umat Islam di seluruh dunia.
Ujarnya, tidak perlu lagi ulasan panjang lebar berkaitan isu tersebut kerana seluruh dunia khususnya umat Islam yang benar beriman dan bertaqwa kepada Allah telah mengetahui dengan mendalam berkaitan kezaliman rejim zionis yang merampas hak dan kehidupan damai umat Islam di Palestin.
“Justeru, segala pembelaan terhadap Palestin dan Masjid al-Aqsa menjadi suatu tanggungjawab agama yang penting dalam pemerkasaan iman dan jatidiri seorang Muslim sejati.
“Sidang khas OIC (Pertubuhan Negara Islam) perlu segera diadakan untuk segera membuat resolusi baru dalam mempertegas segala bentuk sokongan dan dokongan dalam membela Palestin,” tegasnya. – MalaysiaGazette