Presiden Organisasi Penggerak Sosial dan Minda Nambikkai, Datuk Dr. Kalai Vanar menunjukkan gambar dan laporan polis mengenai pelajar Tingkatan 3 di sebuah sekolah telah dipukul oleh sekumpulan pelajar dari sekolah sama hingga keretakan tulang bawah mata kiri dan laporan polis tiada perkembangan di Madras Cafe, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 12 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar tingkatan tiga yang dibelasah oleh enam rakan sekolahnya nyaris buta selepas kehilangan 50 peratus penglihatannya.

Kejadian pada jam 1,30 tengah hari di hadapan sebuah sekolah menengah di Taman Puchong Utama, Subang pada 5 September lalu itu menyebabkan Thinesh Selvenderan, 16, terpaksa memakai cermin mata selepas mengalami keretakan tulang pipi berhampiran mata kiri.

Presiden Organisasi Penggerak Sosial dan Minda Nambikkai (Nambikkai), Datuk Kalai Vanar berkata, mangsa telah diajak enam pelajar tingkatan tiga dari kelas lain sebelum dibelasahnya tan sebab

“Mangsa yang cedera di muka  dikejarkan ke sebuah hospital swasta yang kemudian pakar perubatan menerusi pemeriksaan lanjut memaklumkan mangsa mengalami luka di dahi kiri dan tulang retak bawah mata sehingga terpaksa ditahan untuk rawatan selama lima hari di wad.

“Doktor juga memaklumkan mangsa berisiko menjadi buta sekiranya melakukan pembedahan dan menasihatkan agar mangsa memakai cermin mata kerana kehilangan 50 peratus penglihatannya akibat kecederaan tersebut ,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Kalaivanar berkata, sehingga kini tiada tindakan susulan daripada polis walaupun bapa mangsa, Selvenderan Nanapragasam, 48, telah membuat laporan polis pada jam 9.56 malam hari sama berhubung perkara tersebut.

Katanya, walaupun pegawai penyiasat telah mengambil keterangan daripada pengadu sehari selepas itu, namun tiada perkembangan terbaharu atau pendakwaan dilakukan ke atas pelaku.

Malah, tambah beliau, sejurus kejadian isu itu dirujuk kepada pengurusan sekolah yang kemudian menjanjikan siasatan dan tindakan buang sekolah akan dilakukan.

“Bagaimanapun, pelajar-pelajar itu sehingga hari ini masih bersekolah. Malah, lebih mengecewakan tiada sebarang perjumpaan bertentang mata daripada ibu bapa pelaku serta sebarang usaha memohon maaf kepada mangsa.

“Pihak sekolah juga tidak pernah melawat ketika mangsa terlantar di hospital selama lima hari,” ujarnya.

Berikutan itu, Kalai Vanar akan mengadakan perjumpaan dengan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan esok untuk mencari jalan penyelesaian.

Selain itu, katanya beliau telah menghantar e-mel kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid berhubung perkara tersebut. -MalaysiaGazette