GEORGE TOWN – Polis sedang melengkapkan siasatan berhubung kes orang kena tahan (OKT) dipukul dalam tahanan seperti tular di media sosial semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya memberi jaminan akan menyiasat perkara itu dengan adil tanpa melindungi mana-mana pihak.
“Ketua Polis Daerah Klang Selatan sudah mengadakan sidang media berhubung perkara ini dan kita sedang lengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada pihak Jabatan Peguam Negara bagi tindakan lanjut.
“Jadi kita akan lebih telus, adil dan lebih komitmen dalam menyiasat perkara ini. Itu adalah hasrat saya dan ia juga telah disampaikan kepada Ketua Polis Selangor,”katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden seorang OKT dipukul dalam tahanan polis yang dilaporkan berlaku di IPD, Klang Selatan.
Semalam tular rakaman video di aplikasi Telegram menunjukkan seorang OKT dipukul dua individu yang disyaki anggota polis di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Klang Selatan kira-kira jam 10.30 pagi pada 2 Ogos lalu.
Berdasarkan rakaman itu, seorang polis dilihat memijak lutut OKT tersebut manakala seorang lagi bertindak melibas tapak kaki lelaki itu.
Ketika itu OKT tersebut dikatakan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dia juga telah dituduh di Mahkamah Klang pada 8 Ogos lalu.
Sementara itu, berhubung perkembangan 43 rakyat Malaysia diselamatkan di Peru selepas menjadi mangsa pemerdagangan manusia sindike Macau Scam, Razarudin berkata, urusa membawa pulang mereka sedang diuruskan pihak Kementerian Luar.
“Saya tidak mahu bercakap panjang dan membuat spekulasi disebabkan kita akan mengambil dan menemu bual 43 orang itu apabila mereka pulang ke Malaysia.
“Usaha membawa pulang mereka sedang dilakukan pihak Kementerian luar, jadi saya tak mau komen ini lagi.
“Apabila mereka pulang ke tanah air, kita akan siasat dan dalam masa sama kita juga sedang mengumpul risikan,” katanya.
Wisma Putra dalam satu kenyataan media pada Isnin lalu memaklumkan seramai 43 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penyeludupan manusia sindiket Macau Scam berjaya diselamatkan polis Republik Peru pada 7 Oktober lalu.
Katanya, kesemua rakyat Malaysia itu diselamatkan dalam satu serbuan di sebuah rumah di La Molina, Lima dan proses siasatan serta dihantar pulang ke Malaysia akan dilakukan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette