Pegawai penyiasat kanan 1MDB, Foo Wei Min hadir ke mahkamah bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Komplek Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 12 OKTOBER 2023

KUALA LUMPUR – Prosiding 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan penyelewengan dana sebanyak RM2.3 bilion dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi di sini bersambung dengan keterangan saksi ke-48, ACP Foo Wei Min pagi ini.

Wei Min merupakan ketua pasukan penyiasat jenayah antipengubahan wang haram Bukit Aman pada masa itu.

Beliau adalah antara pegawai penyiasat yang melakukan serbuan di unit kondominium milik Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion, di sini, yang mana barang kemas, jam tangan mewah dan beg tangan dirampas kerana dipercayai ada kaitan dengan penyelewengan dana 1MDB pada 17 Mei 2018.

Ketika prosiding bermula pagi ini sekitar 10.15 pagi ini, Wei Min sudah mula memberi keterangan dengan membaca kenyataan saksinya yang berhalaman 38 muka surat di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Semalam Sequerah mengarahkan pihak pendakwaan memanggil saksi baharu setelah peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah  memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak boleh hadir untuk prosiding pagi ini kerana mempunyai kes di Mahkamah Persekutuan.

Ketika ini juga Muhammad Shafee sedang menyoal balas saksi pendakwaan ke-47, penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM) Adam Ariff Mohd Roslan yang akan kembali pada sebelah petang.

Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan ketika ini sedang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Prosiding bersambung dengan saksi masih lagi membaca keterangan saksi. -MalaysiaGazette