Keadaan laluan ke kawasan perumahan Rafflesia S1, Taman Pelangi Semenyih 2 didakwa berisiko kemalangan susulan lampu jalan tidak berfungsi sekali gus menyebabkan orang ramai tidak dapat melihat pembahagi jalan ketika waktu malam.

KUALA LUMPUR – Kerosakan lampu jalan di laluan kawasan perumahan Rafflesia S1, Taman Pelangi Semenyih 2, Selangor, mencetuskan kebimbangan penduduk setempat susulan ia mengundang risiko keselamatan serta kemalangan jalan raya.

Rata-rata penduduk mendakwa mereka terpaksa melalui jalan gelap ketika pulang kerja serta keluar bersama keluarga pada waktu malam susulan lampu jalan di kawasan tersebut sudah tidak berfungsi sejak setahun lalu.

Malah, mereka juga mendakwa tiada tindakan diambil pihak berkaitan meskipun masalah mengenai kerosakan lampu jalan itu telah diutarakan beberapa kali.

Menurut Naib Presiden Pertubuhan Kebajikan Masyrakat Malaysia, Ivan Lee, keadaan jalan gelap selain terdapat pembahagi jalan serta longkang berhampiran membuatkan penduduk rasa berisiko berlaku kecelakaan.

Ivan Lee.

Jelas beliau, keadaan itu turut berisiko kepada golongan remaja serta kanak-kanak yang melalui laluan itu untuk ke sekolah atau aktiviti harian.

“Bertindak atas aduan penduduk, selaku badan pertubuhan kebajikan kami sendiri tampil meninjau keadaan di kawasan itu sebelum mendapati ia amat berisiko kepada penduduk.

“Keadaan itu menyebabkan wujud rasa kegelisahan dalam kalangan penduduk kerana mereka bimbang terdedah kepada aktiviti kecurian dan kehilangan harta benda jika masalah itu berlarutan tanpa sebarang tindakan segera.

“Sehubungan itu, tiada apa yang kami harapkan selain pihak berkaitan segera membaiki lampu jalan di kawasan perumahan ini demi kesejahteraan penduduk,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, wakil penduduk, L. Francisxavier berkata, beberapa kemalangan dilaporkan berlaku di laluan tersebut susulan pengguna jalan raya tidak dapat lihat dengan jelas pembahagi jalan di kawasan tersebut.

Francisxavier.

Jelasnya, meskipun tiada insiden kemalangan yang mengorbankan nyawa namun kerosakan yang dialami pemilik kereta dan motosikal yang terbabit dalam nahas itu menelan kos tinggi.

“Kejadian terbaru berlaku semalam, apabila sebuah kereta terlanggar pembahagi jalan di bahagian tengah di laluan tersebut kerana keadaan jalan gelap tambahan pula cuaca hujan.

“Takkan tunggu ada nyawa terkorban baru nak ambil tindakan? Ini bukan soal risiko kemalangan saja malah keselamatan penduduk juga terancam sekiranya ada pihak mengambil peluang melakukan jenayah lain atas faktor keadaan gelap.

“Jadi kita harap pihak berkaitan tampil dan baiki kerosakan lampu jalan itu agar keselamatan penduduk tidak terancam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

Comments are closed.