Dua sindiket terlibat penipuan jualan telefon pintar dan pelaburan forex dalam talian ditumpaskan menerusi serbuan dua unit kondominium di ibu negara.- Gambar ihsan IPD Wangsa Maju.

KUALA LUMPUR – Taktik licik sindiket yang terlibat dalam penipuan jualan telefon pintar atas talian dengan menawarkan komisen sehingga RM300 seunit berjaya ditumpaskan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pada 12 Oktober lalu sindiket itu dilumpuhkan menerusi serbuan ke sebuah unit kediaman mewah di Jalan Tun Razak di ibu negara.

Hasil serbuan berjaya membawa kepada tangkapan seramai 15 lelaki dan sembilan wanita tempatan berusia lingkungan umur 20 hingga 38 tahun kerana disyaki terlibat.

“Siasatan awal kami mendedahkan sindiket berkenaan menggunakan modus operandi dengan menawarkan komisen antara RM200 hingga RM300 untuk setiap unit telefon yang dijual sehingga mengakibatkan mangsa warga tempatan mengalami kerugian berjumlah RM139,000.

“Pemeriksaan di dalam unit itu turut berjaya membawa kepada rampasan 10 unit komputer, 44 unit telefon bimbit dan dua unit terminal kad kredit dan kad debit disyaki digunakan ahli sindiket untuk memperdaya dan menipu mangsa dalam talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ashari, kesemua suspek sedang direman selama dua hingga empat hari sehingga 16 Oktober ini bagi membantu siasatan.

Dalam satu lagi perkembangan lain, pihaknya telah melakukan satu lagi serbuan pada hari yang sama ke atas satu lagi unit kediaman di kondominium yang sama.

“Hasil serbuan itu berjaya membawa pasukan polis membuat tangkapan ke atas seramai 20 individu yang disyaki terlibat dalam penipuan pelaburan forex tidak wujud dalam talian.

“Kesemua tangkapan itu terdiri daripada sembilan lelaki dan dua wanita tempatan, tujuh lelaki dan dua wanita warga asing berusia lingkungan umur 23 hingga 47 tahun.

“Siasatan awal polis mendapati sindiket berkenaan menyasarkan mangsa warga Dubai dan Myanmar untuk melabur dalam forex dan aktif selama tujuh bulan,” katanya lagi.

Tegas Ashari, pemeriksaan lanjut di dalam unit kondominium yang disyaki disewa sindiket itu turut membawa kepada rampasan sebanyak 19 unit komputer riba, 27 unit telefon bimbit, sebuah router, seunit modem dan dua iPad.

Kesemua individu tersebut ditahan reman untuk membantu polis melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan lanjut.-MalaysiaGazette