Pelabur asing menjual sejumlah AS$704.3 juta ekuiti minggu lalu berbanding AS$705.4 juta pada minggu sebelumnya. - MIDF Research
Menara MIDF di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – MIDF Research berpendapat Belanjawan 2024 berupaya menyediakan sokongan berterusan kepada rakyat dari segi menjaga kesejahteraan segmen rentan secara berterusan.

Menurut badan penyelidikan itu, mereka terdedah kepada isu-isu berkaitan kos sara hidup yang tinggi dan kesan pelaksanaan program penyasaran subsidi.

MIDF Research berkata, sebanyak RM58.1 bilion akan disediakan untuk membiayai pelbagai bentuk subsidi, insentif dan bantuan di mana hampir 50 peratus akan diperuntukkan bagi mengawal harga barangan dan perkhidmatan.

“Bantuan kewangan juga telah ditambah untuk tujuan ini.

“Untuk membiayai inisiatif ini, kerajaan berusaha untuk meningkatkan pendapatannya termasuk dengan meningkatkan cukai perkhidmatan kepada 8 peratus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Berhubung pasaran modal, MIDF Research mengalu-alukan pelaksanaan cukai keuntungan modal ke atas pelupusan saham tidak tersenarai seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024.

MIDF Research percaya bahawa cukai tersebut boleh menarik lebih banyak penyenaraian di bursa tempatan kerana pengecualian akan diberikan mengikut kes bagi tawaran permulaan awam (IPO), penstrukturan semula dalaman korporat dan syarikat modal teroka.

“Selain itu, cadangan untuk mengecualikan pendapatan cukai ke atas pendapatan hasil jualan dan belian sekuriti Islam (ISSB) dari tahun penilaian 2024 boleh meningkatkan jumlah keseluruhan perdagangan sekuriti dan kecairan pasaran saham patuh syariah.

“Pada pandangan kami, langkah-langkah ini boleh menjadi pemangkin yang akan membantu menggiatkan semula pasaran modal tempatan,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDF Amanah Investment Bank, Datuk Dominic Silva berkata, Belanjawan 2024 dilihat sebagai titik permulaan dalam usaha merealisasikan aspirasi Ekonomi Madani.

Menurut beliau, belanjawan tersebut menyokong pelbagai inisiatif di bawah payung Ekonomi Madani seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Belanjawan 2024 merangkumi beberapa langkah penting untuk tahun fiskal yang akan datang dan bersifat inklusif, komprehensif, dan berwawasan,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Perikatan nasional kena belajar ini daripada perdana menteri dato sri anuar
    kami.bukan rakyat suruh menimbulkan masalah menambahkan masalah.semoga segala urusan dato seri anuar dipermudahkan dan dia mesti dapat membuktikan bahawa cara macam ini lah nak jaga negara dan rakyatnya dan yang penting kena buktikan kepada perikatan nasional bahawa ini lah caranya bukan buat kerja yang tak berfeadah membazirkan masalah

Comments are closed.