Wisma Putra
Bangunan Wisma Putra di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar menyokong penuh hasrat Belanjawan 2024 untuk meningkatkan semula kedudukan dan martabat Malaysia di persada antarabangsa.

Katanya, belanjawan itu membolehkan kementerian mempromosikan keamanan serantau, mengangkat isu antarabangsa yang berkepentingan dan memperluaskan peranan dan pengaruh Malaysia melalui penglibatan aktif di platform antarabangsa.

Kementerian Luar juga bertekad untuk terus mengukuhkan penyampaian perkhidmatan konsular kepada rakyat Malaysia.

“Termasuk dengan meningkatkan penggunaan aplikasi digital dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta memperluaskan pemberian bantuan kemanusiaan kepada rakyat Malaysia yang ditimpa musibah atau terkandas di luar negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambahnya, menerusi peruntukan besar berjumlah RM10 juta yang julung-julung kali disediakan di bawah Kumpulan Wang Amanah Rakyat Malaysia Luar Negeri, adalah penting bagi Kementerian Luar membela nasib rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan dan kes-kes kebajikan lain di luar negara.

Katanya, peruntukan Belanjawan 2024 juga akan dimanfaatkan bagi menaik taraf infrastruktur di Kementerian Luar dan perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negara, menambah baik kebajikan penjawat awam dan memperkasakan modal insan kementerian.

Dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam, Kementerian Luar telah diperuntukkan sebanyak RM1,126,598,900 untuk tahun depan, berbanding RM971,134,100 tahun ini. – MalaysiaGazette