Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki membuat ugutan jenayah dan mendatangkan kecederaan ke atas seorang pengusaha ladang di Ladang Kelapa Sawit Batu 11 Agrotech, Bestari Jaya, Kuala Selangor pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 6 Oktober lalu apabila pihaknya menerima laporan daripada seorang pengusaha ladang sawit berusia 23 tahun mengenai insiden pertengkaran antara dua kumpulan di ladang terbabit..

“Siasatan lanjut polis mendapati pertengkaran bermula apabila beberapa orang pemilik kebun sawit sedang berbincang dengan pengusaha syarikat mengenai kerja mengorek pasir yang dijalankan di kawasan kebut sawit mereka.

“Semasa perbincangan tersebut, tiba-tiba salah seorang pengusaha mengorek pasir itu dikatakan telah mengeluarkan ugutan jenayah dan telah sengaja mendatangkan kecederaan kepada salah seorang pengusaha kebun sawit itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, bertindak atas laporan itu, polis telah membuka kertas siasatan dan mengklasifikasikan kes di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata dan ugutan jenayah.

Katanya, suspek yang berusia 42 berjaya ditahan selepas secara sukarela tampil ke balai polis untuk dirakam keterangan.

“Bagaimanapun, polis membebaskan suspek dengan jaminan polis setelah selesai mengambil keterangan daripada individu tersebut.

“Polis selesai menyiasat kes berkenaan dan kertas siasatan yang dibuka dalam kes ini juga telah dilengkapkan untuk tindakan susulan,” ujarnya. – MalaysiaGazette