eksport halal
Tengku Zafrul Aziz.

KUALA LUMPUR – Peningkatan peruntukan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mencerminkan komitmen kerajaan dalam usaha mentransformaikan sektor yang berkaitan.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kementerian berkenaan memainkan peranan penting untuk memperkukuhkan daya saing ekonomi Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Melangkah ke hadapan untuk terus memperkasakan ekonomi negara, transformasi amat diperlukan bagi membina daya tahan sektor industri dan perdagangan Malaysia.

“Untuk tujuan itu, MITI telahpun menggerakkantransformasi penstrukturan sektor pembuatan, pelaburan dan perdagangan di mana limpahan positifnya akan memanfaatkan komuniti perniagaan, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam sektor pembuatan, dan rakyat secara keseluruhannya,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam masa yang sama menurut beliau, dana permulaan sebanyak RM200 juta untuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dilihat selari dengan usaha pengenalan dasar-dasar baru yang diperkenalkan MITI.

Terdahulu Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan peruntukan tersebut bagi mewujudkan dua dana baharu iaitu Dana Pembangunan Industri dan Dana Pelaburan Strategik Bersama.

Pihak industri akan berpeluang untuk memohon geran padanan bagi, antara lainnya, penghasilan produk dengan kompleksiti tinggi, penerapan teknologi secara agresif, inisiatif kelestarian dan nyahkarbon, serta inisiatif keterangkuman dan pembangunan bakat sektor pembuatan.

Mengulas lanjut Zafrul berkata, Pelan Hala Tuju Industri Kimia 2030 (CIR2030) juga mendapat dorongan denganpengiktirafan Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC) sebagai hab pembangunan sektor kimia dan petrokimia menerusi pemberian pakej galakan cukai dalam bentuk kadar cukai khas atau elaun cukai pelaburan.

Jelasnya, perkembangan tersebut akan menarik minat pemain-pemain industri kimia dan petrokimia yang berteknologi tinggi dari dalam dan luar negara untuk melabur di PIPC, seterusnya membuka peluang pekerjaan berpendapatan tinggi bagi rakyat Malaysia.

Tambah beliau, langkah kerajaan menerusi cukai yang berkaitan dengan dasar-dasar MITI dilihat menyokong usaha kementerian berkenaan untuk memajukan sektor pelaburan dan pembuatan dalam negara.

Sementara itu, Zafrul memberi jaminan untuk menerajui Jawatankuasa Tindakan dan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP) bagi merealisasikan pelaburan dan perdagangan.

Katanya, urusan pelaburan langsung domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI) akan dimudahkan bermula daripada proses permohonan diterima sehinggalah pelaburan tersebut direalisasikan.

“JTPPP yang akan melapor terus kepada Majlis Pelaburan Negara, akan bermesyuarat sekurangkurangnya sekali setiap bulan bagi menangani cabaran yang dihadapi oleh pelabur secara telus, pantas dan tuntas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast