Penjaga gol Malaysia, Syihan Hazmi menampal rumput yang tercabut pada perlawanan Pesta Bola Merdeka menentang pasukan India di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR-  Padang baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini masih memerlukan masa dua hingga tiga bulan sebelum ia sedia digunakan, menurut Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

TMJ menyuarakan pendapat bekenaan di laman X, susulan kualiti permukaan padang di Stadium Nasional itu yang baru dinaik taraf menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia di persoal peminat bola sepak tanah air selepas perlawanan Pestabola Merdeka 2023, malam ini..

Rumput di gelanggang keramat Harimau Malaya itu tercabut di beberapa bahagian semasa perlawanan Malaysia menewaskan India 4-2 pada aksi pertama kejohanan tersebut.

TMJ memaklumkan padang baharu itu sepatutnya diberi masa untuk akarnya tumbuh dengan kuat sebelum digunakan seperti padang di Stadium Sultan Ibrahim, gelanggang rasmi JDT, di Iskandar Puteri, Johor Bahru.

Keadaan padang yang rosak pada perlawanan pembukaan Pestabola Merdeka 2023 diantara Malaysia menentang India di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 13 OKTOBER 2023.

“Tetapi pasukan kebangsaan nak pakai secepat mungkin. Itu atas keputusan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan pihak stadium. Kalau saya, saya beri lebih masa,” menurutnya ketika membalas hantaran seorang pengguna yang mempersoalkan keadaan padang tersebut.

Semalam,TMJ,  pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), merasmikan padang baharu itu dengan proses penukaran rumput ditaja oleh beliau. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast