Datuk Nik Zawawi

KUALA LUMPUR – Majlis Syura Ulama Pas menggesa umat Islam seluruh dunia terutamanya negara-negara Islam supaya menolak normalisasi terhadap Zionis Yahudi serta kerajaan haram Israel yang dianjurkan oleh pihak Amerika Syarikat (AS) dan sekutu-sekutunya.

Setiausahanya, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, sebarang usaha normalisasi dengan Zionis Yahudi yang merupakan talian hayat kepada rejim penjajahini perlu ditolak dan disanggah dengan tegas kerana ia tidak memberikan sebarang keuntungan kepada perjuangan rakyat Palestin.

“Oleh yang demikian, atas dasar keimanan dan kemanusiaan serta demi mempertahankan tanah berdaulat Palestin dan Masjid al-Aqsa, Majlis Syura Ulama menyeru kepada semua umat Islam supaya bangkit mempertahankan kedaulatan dan kesucian Masjid al-Aqsa dengan pelbagai cara sama ada memberikan sokongan moral, bantuan kewangan serta sentiasa melakukan Qunut Nazilah memohon keselamatan untuk umat Islam Palestin.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nik Muhammad Zawawi, Majlis Syura Ulama mengikuti secara dekat pertempuran yang sedang berlaku antara Palestin dan Israel hari ini di mana rakyat Palestin di Semenanjung Gaza sedang berhadapan dengan serangan yang amat dahsyat oleh tentera rejim zionis Israel yang telah mengakibatkan kemusnahan besar di bandar Gaza termasuk kediaman, masjid, sekolah dan hospital.

Serangan Taufan al-Aqsa yang dikepalai oleh HAMAS dan disokong oleh semua gerakan perjuangan lain sememangnya paling sesuai dalam konteks untuk membebaskan bumi
Palestin dan Masjid al-Aqsa setelah siri rundingan yang dibuat oleh masyarakat antarabangsa dilanggar oleh rejim Zionis Israel dengan rakus dan kejam.

AS dan sekutu-sekutunya juga menjadi dalang di sebalik pelanggaran perjanjian tersebut sehingga bumi Palestin sentiasa bermandi darah pada syuhada.

Kementerian Pertahanan negara haram Israel telah mengarahkan supaya diputuskan segala sumber makanan, elektrik, air dan petroleum terhadap Semenanjung Gaza.

“Majlis Syura Ulama mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Yahudi yang tidak berperikemanusiaan ini dengan segala bentuk penindasan terhadap umat Islam Palestin yang mana ia merupakan jenayah antarabangsa yang perlu disekat dan dihalang oleh dunia dengan apa cara sekali pun,” katanya. – MalaysiaGazette