KUALA LUMPUR – MCA menyambut baik pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar secara beransur-ansur dalam Belanjawan 2024 mencadangkan kerajaan menggunakan sistem pelaporan cukai yang sedia ada dengan mengambil kira “pendapatan boleh guna”.

Dan bukannya cara menggolongkan rakyat ke dalam beberapa klasifikasi berdasarkan “pendapatan isi rumah” sahaja iaitu T20, M40 dan B40.

Jurucakap MCA, Saw Yee Fung berkata, terdapat beberapa faktor lain juga harus dipertimbangkan, seperti kawasan kediaman dan beban keluarga (seperti anak atau ibu bapa).

Mekanisme ini dipercayai dapat memberi gambaran yang lebih jelas untuk mengenalpasti mereka yang memerlukan bantuan.

Sebagai contoh, katanya, Encik A bersama isterinya menetap di Raub dengan pendapatan isi rumah RM4,000. Menurut klasifikasi yang sedia ada, mereka tergolong dalam kumpulan B40, iaitu pendapatan isi rumah yang kurang daripada RM4,850.

Encik B bersama isterinya dan tiga anaknya pula menetap di Serdang, Selangor dengan pendapatan isi rumah RM5,000. Namun begitu, mereka tergolong dalam kumpulan M40 kerana pendapatan mereka berada di antara RM4,851 hingga RM10,970.

Yee Fung menambahm jika kita membuat perbandingan berdasarkan gaji sahaja, maka situasi kewangan Encik B adalah lebih baik daripada Encik A.

Namun begitu, selepas mengambil kira faktor pendidikan kanak-kanak, kadar sewa yang lebih tinggi di kawasan bandar, kos sara hidup, pengangkutan dan sebagainya, jumlah pendapatan boleh guna Encik B adalah jauh lebih rendah daripada Encik A.

Maka, Encik B lebih layak menerima bantuan subsidi bersasar kalau dibandingkan dengan Encik A.

Cadangan kedua, tambahnya, pelaksanaan subsidi bersasar tidak harus diagihkan secara “satu saiz untuk semua”.

Contohnya, gaji Encik C adalah RM1,500 manakala gaji Encik D adalah RM2,800. Walaupun mereka berdua tergolong dalam kategori B40 dan layak menerima bantuan yang sama, namun ia jelas dilihat bahawa mereka memerlukan jumlah bantuan yang berbeza.

Maka, pengagihan bantuan tidak wajar lagi dibuat secara “satu saiz untuk semua”. Justeru itu, ia dicadangkan bahawa pelaksanaan subsidi bersasar dibuat secara “padanan terbalik”.

Menurut Yee Fung, kerajaan turut dicadangkan menetapkan had bantuan bagi setiap kategori.

Contohnya, jumlah subsidi bersasar bagi golongan B40 adalah RM3,000. Encik C dengan jumlah pendapatan RM1,500 boleh menerima bantuan subsidi sebanyak RM1,500, manakala Encik D dengan pendapatan RM2,800 boleh menerimba bantuan RM200, dan seterusnya.

Melalui cara ini, pengagihan bantuan subsidi bersasar boleh dibuat secara adil dan berkesan, dan memastikan tiada sesiapapun akan ketinggalan, ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast