Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperkenalkan Akaun Fleksibel sebagai akaun baharu yang boleh diakses oleh ahli pada bila-bila masa, khususnya ketika kecemasan.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, menstruktur semula akaun ahli untuk memperkasakan lagi simpanan persaraaan demi kesejahteraan hari tua.

Menurutnya, langkah itu bagi membantu ahli KWSP mengimbangi keperluan jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

“KWSP yakin dan percaya bahawa inisiatif ini dapat membantu rakyat Malaysia meningkatkan simpanan persaraan dan memupuk keharmonian dan kesejahteraan dalam keluarga.

“Sebagai sebuah dana persaraan, KWSP menyokong dan akan bekerjasama dengan Kerajaan dalam merealisasikan aspirasi Malaysia Madani untuk memastikan kehidupan persaraan rakyat Malaysia terjamin,” katanya sambil menambah inisiatif yang diumumkan semasa Belanjawan 2024 adalah tertakluk kepada kelulusan Parlimen.

KWSP dalam kenyataan itu menyambut baik Belanjawan 2024 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menangani beberapa perkara yang dibangkitkan oleh agensi itu berhubung kesejahteraan kewangan jangka panjang rakyat Malaysia.

Amir Hamzah berkata, Belanjawan 2024 mencerminkan satu langkah penting ke hadapan dalam mengutamakan keselamatan kewangan dan kemakmuran penduduk kita yang semakin menua.

Dengan usaha bersepadu dalam memperkukuhkan sumber dan peruntukan persaraan, Belanjawan ini menyerlahkan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam memastikan maruah dan keselesaan rakyat.

“Kesejahteraan hari tua rakyat kekal sebagai salah satu keutamaan kerajaan berikutan tahap perlindungan yang rendah di bawah skim pencen dan persaraan yang formal dalam kalangan rakyat Malaysia,” ujarnya.

Menurut beliau, pada masa ini, hanya 60% daripada tenaga buruh di Malaysia dilindungi di bawah skim persaraan formal, iaitu Skim KWSP untuk pekerja swasta dan Skim Pencen Perkhidmatan Awam untuk penjawat awam.

Beliau menambah, tahap simpanan yang rendah dalam kalangan ahli KWSP juga perlu ditangani bagi memastikan rakyat Malaysia dapat bersara dengan selesa dan bermakna pada hari tua.

Oleh itu, adalah penting agar keadaan semasa dapat ditangani dengan merapatkan jurang simpanan dan liputan yang wujud dalam sistem pencen dan persaraan di Malaysia.

Azizan menambah, KWSP mengalu-alukan inisiatif kerajaan untuk meningkatkan had caruman padanan kerajaan di bawah program i-Saraan daripada RM300 kepada RM500 setahun.

Selain itu, program i-Saraan juga akan ditambah baik di mana rakyat Malaysia dalam sektor tidak formal, termasuk golongan bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap di bawah umur 60 tahun yang mencarum secara sukarela kepada i-Saraan akan berpeluang menerima insentif maksimum seumur hidup sebanyak RM5,000 setiap individu, tertakluk kepada had RM500 setahun.

Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 350,000 peserta i-Saraan sedia ada dan baru.

Mulai tahun 2024, program i-Sayang akan diperluaskan untuk turut membolehkan isteri yang bekerja memindahkan 2% daripada caruman KWSP bulanan mereka (syer pekerja) ke akaun KWSP suami mereka.

Program i-Sayang, yang dilancarkan pada Mac 2023, membolehkan suami memperuntukkan 2% daripada caruman KWSP bulanan (syer pekerja) secara sukarela ke akaun KWSP isteri mereka.

Sejak program ini dilancarkan, lebih kurang 34,000 suami telah menyertai program i-Sayang yang melibatkan jumlah simpanan sebanyak RM14.7 juta.

Bagi menghargai sumbangan suri rumah kepada pembangunan keluarga dan negara, kerajaan berhasrat untuk melanjutkan program i-Suri, di mana kerajaan akan memberikan insentif caruman padanan bagi setiap ringgit yang dicarumkan ke dalam Skim KWSP oleh suri rumah di bawah umur 60 tahun yang berdaftar dalam pangkalan data e-Kasih.

Sehubungan dengan itu, peserta i-Suri juga berpeluang untuk menerima insentif seumur hidup sebanyak RM3,000 setiap individu, tertakluk kepada insentif padanan sebanyak RM300 setahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.