Monday, May 6, 2024
Home Nasional Mahkamah Persekutuan kekalkan keputusan Najib, Nazifuddin bayar cukai lebih RM1.7b

Mahkamah Persekutuan kekalkan keputusan Najib, Nazifuddin bayar cukai lebih RM1.7b

Najib Razak AGC
Najib Razak

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan, di sini, hari ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin untuk mengetepikan penghakiman Mahkamah Tinggi supaya membayar lebih RM1.7 bilion cukai tertunggak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Keputusan sebulat suara oleh lima panel hakim itu dipengerusikan Datuk P Nalini yang menolak rayuan anak beranak itu dengan berpandukan prinsip bayar dulu dan bincang kemudian.

Nalini berkata, prinsip ini berkuatkuasa kepada pihak yang berhutang kepada LHDN sebelum membuat rayuan kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan.

Pada Julai 2020, dua Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Nazifuddin bagi tempoh antara 2011 dan 2017.

Najib dan Mohd Nazifuddin kemudian merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dikeluarkan pada 22 dan 6 Julai 2021 oleh Hakim Datuk Ahmad Bache dan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Datuk Nazifuddin Najib
LHDN, melalui kerajaan Malaysia juga telah memfailkan writ saman terhadap Mohd Nazifuddin pada 24 Julai 2019, mendakwa Mohd Nazifuddin masih belum membayar cukai untuk tahun taksiran dari 2011 hingga 2017 berjumlah RM37,644,810.73 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.
LHDN memfailkan notis kebankrapan terhadap Najib dan Mohd Nazifuddin di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Februari lalu kerana gagal menjelaskan cukai pendapatan berkenaan. -MalaysiaGazette