Pope Francis.-Foto FB Vatican News

KUALA LUMPUR – Kepayahan masyarakat untuk mengekses makanan, air dan keperluan asas merupakan satu bentuk penghinaan terhadap maruah manusia.

Pemimpin tertinggi Vatican, Pope Francis berkata, setiap insan seharusnya malu terhadap kepayahan yang dihadapi oleh segelintir manusia.

Justeru beliau mahu masyarakat antarabangsa mengerakkan usaha bagi memastikan setiap masyarakat mendapat akses makanan, air dan keperluan asas.

“Hakikat bahawa begitu ramai orang tidak boleh mendapatkan makanan, air dan keperluan asas lain adalah satu penghinaan terhadap maruah mereka yang dianugerahkan Tuhan.

“Satu penghinaan yang sepatutnya memalukan semua manusia dan menggerakkan masyarakat antarabangsa,” katanya dalam platform X.

Pemimpin tertinggi Vatican itu berkata demikian bagi meraikan Hari Makanan Sedunia 2023 yang disambut pada 16 Ogos setiap tahun.

Pope Francis menyampaikan mesej kepada Ketua Pengarah Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) di mana beliau menekankan kepentingan tema 2023: “Jangan tinggalkan sesiapa pun”.

Pope Francis menyatakan bahawa dunia ditandai dengan realiti yang nyata di mana kemiskinan dan rasa putus asa terus melanda masyarat. .

Jeritan penderitaan dan keputusasaan mereka, katanya, seharusnya menyedarkan semua pihak daripada ketidakpedulian dan mendorong setiap insan untuk memeriksa hati nurani.

Pope menegaskan, bagaimana keadaan kelaparan dan kekurangan zat makanan yang berlaku dan menjejaskan ramai orang adalah hasil daripada ketidaksamaan dan ketidakadilan hinggga menyebabkan ramai terpinggir.

Sementara itu beberapa pengikut platfom X menyarankan Pope Francis membantu rakyat Palestin di Gaza yang berhadapan dengan bekalan air, makanan, bahan api dan perubatan berikutan sekatan yang dilakukan Israel.

“Dia bercakap tentang anda Israel kerana memotong bekalan makanan dan air ke Gaza!” kata Jan Willem.

“Mungkin Vatican boleh membantu Palestin?” tanya Daisy.

Berkaitan isu di Gaza, Pope Francis sebelum ini berkata, undang-undang kemanusiaan perlu dihormati.

Beliau menggesa agar jangan biarkan lagi darah yang tidak bersalah ditumpahkan baik di Tanah Suci umat Kristian di Juruselam mahupun di Ukraine atau mahupun di mana-mana tempat lain.

“Cukup! Peperangan sentiasa kekalahan, sentiasa! Saya terus mengikuti dengan penuh kesedihan apa yang berlaku di Israel dan Palestin.

“Saya memperbaharui rayuan saya untuk membebaskan tebusan dan saya meminta kanak-kanak, orang sakit, orang tua, wanita, dan semua orang awam tidak menjadi mangsa konflik,” katanya.-MalaysiaGazette