Gambar hiasan.

IPOH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam mesin basuh pakaian sebelum disahkan meninggal dunia, di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata pihaknya menerima satu laporan daripada Hospital Raja Pemaisuri Bainun (HRPB) berhubung kematian kanak-kanak lelaki itu sekitar jam 11.44 pagi selepas dibawa ambulans dari rumahnya di Kampung Sungai Tapah Tambahan Manjoi, di sini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati semasa kejadian, mangsa bersama ahli keluarga berada di rumah sebelum neneknya menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam mesin basuh pakaian kira-kira jam 9.30 pagi.

“Mangsa, ditemui neneknya dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam mesin basuh pakaian dan telah dihantar ke hospital oleh ambulans sebelum disahkan meninggal dunia sekitar jam 11.02 pagi,” katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.

Beliau berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan Jabatan Forensik HRPB mendapati, kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan di bahagian kepala akibat objek tumpul.

“Sehubungan itu, kes ini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a), Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).

“Pihak polis ingin memberi nasihat dan peringatan sekali lagi kepada orang awam, khususnya ibu bapa atau penjaga supaya tidak membiarkan kanak-kanak bawah jagaan masing-masing tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan untuk mengelakkan berlakunya sebarang tragedi yang tidak diingini,” jelasnya. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN: