KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) tidak menolak kemungkinan kematian rakyat Malaysia, Muhammad Izzat Abdul Wahab dalam tahanan imigresen di Myanmar ada unsur jenayah.
Setiausaha Agungnya, Datuk Hishammuddin Hashim berharap, kerajaan masuk campur agar siasatan telus dilakukan bagi mengetahui punca mangsa sindiket pemerdagangan manusia itu maut.
“Sebenarnya mangsa itu telah hubungi kita bila sedar ditipu, wakil MHO berjaya selamatkan dia dan tempatkan di tahanan imigresen di sana. Selama ini kita anggap pusat itu tempat selamat tapi kini mungkin perlu berhati-hati bila ada kes sedemikian.
“Kita tidak tuduh imigresen Myanmar sabotaj tapi kita hairan mereka beritahu punca kematian sebab sakit jantung walhal keluarga sahkan mangsa tiada sejarah perubatan penyakit itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Hishammuddin menambah, Izzat pada mulanya terpedaya dengan satu iklan di Facebook menawarkan peluang perniagaan dengan pulangan lumayan.
“Ejen beritahu stok jualan alat ganti kereta itu di Thailand dan memberi tiket penerbangan ke sana. Izzat kemudian ke Bangkok dan disuruh naik Grab ke satu tempat sebelum dibawa ke Myanmar menaiki sampan,” ujarnya.
Menyedari perjalanan itu meragukan, Izzat yang dikurung di sebuah hotel menghubungi wakil MHO dan diselamatkan lalu dibawa ke imigresen untuk proses pulang ke tanah air sebelum dilaporkan maut.
Rentetan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar berwaspada kerana pihak sindiket kini ‘memancing’ mangsa dengan menawarkan peluang perniagaan sebagai taktik baharu. – MalaysiaGazette