Pemain Tajikistan, Soirov Rustam menjaringkan gol pertama menewaskan penjaga gol Malaysia, Syihan Hazmi pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Tajikistan memusnahkan impian Harimau Malaya menjulang Piala Pestabola Merdeka di halaman sendiri apabila menundukkan tuan rumah dengan keputusan 2-0 dalam aksi penuh dramatik malam ini.

Dalam perlawanan final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, skuad rangking 110 dunia itu berjaya mengambil kesempatan terhadap kesilapan bek pertahanan tuan rumah sehingga membuka dua jaringan penting sekaligus membawa mereka kepada menjulang piala berprestij itu buat julung kali.

Skuad bimbingan Kim Pan Gon mengasak pasukan pelawat  sejak awal permainan itu untuk mencari gol pembukaan.

Malaysia lebih dominasi melakukan serangan pada 15 minit pertama namun kekebalan pertahanan pasukan pelawat sukar untuk merobek gawang gol mereka.

Pemain Tajikistan,Juraboev Amirbek menanduk bola sambil diasak pemain Malaysia, Endrick Dos Santos pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 OKTOBER 2023.

Bagaimanapun pasukan pelawat mengejutkan Malaysia dengan mendahului separuh masa pertama dengan 1-0 menerusi pemain Soirov Rustam pada minit ke-44 hasil rembatan cantik.

Malaysia yang ketinggalan tanpa putus asa terus menekan lawan dengan serangan balas bertalu-talu untuk mencari gol penyamaan yang sangat dikehendaki itu.

Sebelum tamat separuh masa pertama, Malaysia mendapat peluang untuk mengikat kedudukan menerusi sepakan percuma dan juga sepakan penjuru namun percubaan tepat itu berjaya dinafikan penjaga gol lawan.

Pada separuh masa kedua, Malaysia terus mendominasi permainan bagaimanapun tandukan Brandan Gan melantun tinggi melepasi palang gol lawan.

Kelincahan bek pertahanan dan penjaga gol pasukan pelawat seolah membaca taktik serangan skuad tuan rumah sehingga gagal memberi peluang kepada setiap serangan untuk merobek gawang gol lawan.

Pada minit ke-87, kesilapan antara pemain pertahanan dan penjaga gol sekali lagi menghukum pasukan Harimau Malaya apabila Tajikistan membuka gol keduanya yang juga gol kemenangan mereka yang membawa kepada menjuarai Piala edisi ke-42. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast