Anwar Ibrahim yang diiringi Tan Sri Ahmad Nizam Salleh, Pengerusi PHB dan Mohamad Damshal Awang Damit, Pengarah Urusan Kumpulan PHB untuk menyempurnakan pelancaran 1 bilion Unit Tambahan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) di Grand Nexus Ballroom, Connexion Conference & Event Centre, Kuala Lumpur pada hari ini.

KUALA LUMPUR – Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) hari ini mengumumkan penambahan 1 bilion unit Skim Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) untuk ditawarkan bagi langganan umum, sekaligus meningkatkan komitmennya untuk memberi peluang kepada lebih ramai Bumiputera untuk mempunyai pemilikan benefisial ke atas pasaran hartanah di lokasi utama seluruh Malaysia.

Penambahan terbaharu ini merupakan yang kelima, menjadikan jumlah unit terkumpul AHB sebanyak 5 bilion unit sejak penubuhannya pada tahun 2010.

AHB merupakan sebuah unit amanah patuh Syariah berlandaskan hartanah yang pertama di Malaysia. Unit ini disokong dengan hartanah-hartanah komersial utama yang disewakan dan menikmati aliran pendapatan sewaan secara tetap.

Membawa aspirasi nasional untuk memperkasa pegangan pelaburan Bumiputera, skim unit AHB memberi peluang kepada Bumiputera untuk menyertai pemilikan hartanah komersial utama menerusi pegangan unit.

Dalam tempoh 17 tahun pengoperasinya, PHB terus komited dalam usaha untuk mengenal pasti dan memperoleh hartanah komersial utama di bandar-bandar prima di seluruh Malaysia. Sehingga kini, PHB mempunyai aset bernilai kira-kira RM11 bilion.

Unit tambahan yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada hari ini adalah hasil suntikan daripada beberapa aset terkini PHB iaitu Hospital Pakar KPJ Damansara 2 di Kuala Lumpur, Marlborough College di Iskandar Puteri dan penilaian semula bangunan Menara 1 Sentrum di Kuala Lumpur, Wisma Consplant di Subang Jaya dan Maersk Warehouse, dulu dikenali LF Logistics Warehouse di Shah Alam.

Penambahan dana ini menawarkan peluang kepada Bumiputera untuk menyimpan dan melabur, terutamanya sebagai perancangan persaraan masing-masing, tambahan pula kini ekonomi negara semakin beransur pulih pasca pandemik.

Selain itu, ia juga selari dengan galakan kerajaan agar rakyat, terutamanya Bumiputera dapat menguruskan semula simpanan dan kewangan dengan lebih baik agar sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kecemasan atau krisis di masa hadapan.

Orang awam yang berminat untuk melanggan unit AHB boleh ke mana-mana cawangan pengedar sah PHB di seluruh Malaysia, iaitu Maybank, Ambank, Ambank Islamic dan Bank Islam. Pelaburan minimum yang diperlukan adalah RM100 bagi setiap individu, sementara
jumlah pelaburan maksimum adalah RM500,000.

Sementara itu, bagi pelanggan Maybank mereka boleh melanggan AHB melalui laman web Maybank2u atau aplikasi telefon myAHB yang boleh dimuat turun secara terus melalui aplikasi App Store dan Google Play Store. Mereka juga boleh menyemak pegangan unit semasa, melanggan unit baharu atau menebus unit sedia ada melalui aplikasi tersebut.

Antara aset-aset yang dimiliki PHB termasuklah Menara Conlay, Kuala Lumpur; Menara Prisma Putrajaya; Wisma Consplant, Subang Jaya; Avisena Specialist Hospital, Shah Alam; Pusat beli-belah NU Sentral, Kuala Lumpur; Menara 1 Sentrum, Kuala Lumpur dan Hospital Gleneagles Blok B, Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette