Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution bercakap pada sidang media mengenai Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-9, Bil.3/2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 18 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Dakwaan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid bahawa beliau diugut untuk menyokong kerajaan tidak berlaku sama sekali.

Malah, ia merupakan satu tuduhan liar dan jika benar dakwaan tersebut, Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu perlu tampil untuk mengemukakan bukti, kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Saya nak sebut begini. Yang pertama, tanpa angin tanpa ribut tak semena-mena Kuala Kangsar (Ahli Parlimen) kata dia nak sokong Perdana Menteri… itu statement (kenyataan) dia.

“Yang kedua dia kata, dengan sokongan itu dia harap akan dapat peruntukan untuk kawasan dia. Itu statement dia. Statement dia disusuli oleh Setiusaha Agung Bersatu Hamzah (Datuk Serti Hamzah Zainuddin) yang kata ada elemen peras ugut dan segala macam.

“Beban membuktikan adalah jatuh kepada pihak yang membuat dakwaan itu. Itu maksud Gobind (Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo). Kalau ada pihak yang membuat dakwaan, dia kena tampil mengemukakan bukti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pekerja Asing antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia kali ke sembilan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mengatakan Iskandar Dzulkarnain diugut atas kesalahan rasuah sekiranya enggan menandatangani kenyataan media yang disediakan lebih awal menyokong kerajaan.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan Persekutuan kini mendapat sokongan daripada 147 ahli Parlimen.

Katanya, jika sekadar mahu meluluskan sesuatu belanjawan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat, jumlah berkenaan sudah memadai.

“Tidak ada keperluan untuk kita buat sepertimana yang mereka buat dahulunya…itu ulasan saya…saya tak mahu komen lebih dari itu. Faktanya tidak berubah.

“Ahli Parlimen itu sendiri yang menyatakan. Kalau betul ada elemen seperti didakwa, beban membuktikan ada di pihak yang berkata demikian,” ujarnya.

Hamzah sebelum ini mendakwa, pada 1 Oktober lalu, Iskandar Dzulkarnain dipercayai dibawa bertemu dengan seorang pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah hotel di Damansara dan diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah sekiranya enggan menandatangani kenyataan media berkenaan.

Malah, sebelum itu pada 26 September lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar berkenaan juga didatangi seorang taikun perniagaan bergelar Tan Sri yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri di sebuah lokasi sekitar Damansara.

Menurut Hamzah, malah ketika pertemuan bersama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu juga kelihatan amat tertekan akibat intimidasi yang dikenakan terhadap beliau.

Justeru itu, beliau menegaskan PN mengutuk keras tindakan Kerajaan Madani yang berterusan menyalahgunakan kuasa bagi melakukan intimidasi serta ugutan terhadap pemimpin pembangkang. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast