KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) menasihatkan kru kabin MYAirline berhati-hati menerima kontrak kerja baharu dari syarikat penerbangan lain.
Peringatan ini dibuat selepas NUFAM mendakwa seramai 100 pekerja MYAirline telah mendapat pekerjaan di syarikat penerbangan lain sejak berlakunya krisis ini.
Jelasnya, tawaran itu juga menjadi masalah kerana pekerja ini masih ada kontrak bersama MYAirline.
Bon kontrak mereka masih kekal dan syarikat juga boleh menuntut bayaran bon tersebut pada bila-bila masa.
Oleh itu, NUFAM menyarankan agar pekerja yang mahu berhenti dari kontrak pekerjaan agar berhati hati agar tidak terperangkap dengan masalah lain pada masa akan datang.
Ia kerana, menerima tawaran pekerjaan baharu bakal menjejaskan tuntutan gaji tunggakan mereka bersama MYAirlines.
Lagipun, MYAirline pun belum lagi gulung tikar secara rasmi dan sehingga hari ini dan ia juga tidak mengumumkan sebarang tindakan untuk membuang atau menutup syarikat penerbangan ini.
Lantaran itu, NUFAM mengesa agar agensi Kementerian Sumber Manusia mengambil perhatian atas isu sebegini di mana banyak syarikat penerbangan telah gulung tikar tapi ramai pekerja telah hilang kelayakan untuk menuntut sebarang pampasan atau gaji dari syarikat.
“Isu ini penting kerana NUFAM telah mewakili ramai pekerja dalam kes pembuangan pekerjaan dan ini adalah antara masalah yang paling besar dihadapi oleh pekerja,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam masa sama, NUFAM turut menggesa MyAirline supaya terus membuat separuh bayaran gaji tertunggak kepada pekerja sebelum memulakan langkah pemulihan operasi.
Menurutnya, pekerja kru kabin boleh kekal duduk di rumah sehingga operasi syarikat MyAirlines kembali pulih seperti kontrak yang asal.
“Jika kru kabin ini tidak dibayar gaji maka pekerja ini boleh terus duduk di rumah dan kekal menerima gaji asal mereka seperti biasa, selaras dengan polisi pekerja sebagai kru kabin jika operasi penerbangan terbantut.
“Namun, banyak syarikat penerbangan telah menyalahgunakan polisi pekerjaan tersebut disebabkan ada polisi pekerjaan ini telah diubah suai tanpa pengetahuan kru kabin.
“Jadi, semua pihak kena ikut kontrak asal pekerja untuk mengelakan sebarang kerumitan,” kata NUFAM lagi.
Tambahnya, NUFAM juga mendapat maklumat ada dalam kalangan kru kabin diarahkan untuk menyusun fail, kerusi dan meja di pejabat.
Arahan ini sama sekali salah dari segi syarat dan kontrak pekerjaan kerana pekerjaan sebagai kru kabin hanyalah untuk memberi khidmat dalam kapal, bukan di luar kapal.
“Perlu diingatkan bahawa pekerja juga diikat dengan perjanjian kontrak asal dan ia ini tidak boleh diubah suai mengikut kesesuaian mana-mana pihak termasuk pekerja itu sendiri.
“Jadi, semua pihak kena ikut kontrak asal pekerja untuk mengelakan sebarang kerumitan,” ujarnya sambil menambah sehingga hari ini masih tidak ada apa apa isyarat positif yang menunjukan bila MyAirline akan beroperasi kembali. – MalaysiaGazette