Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hadir pada Majlis Pelancaran Modul Celik Kewangan KPM-BSN Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah di sebuah pusat beli-belah, di sini hari ini.

BANGI – Modul Celik Kewangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Bank Simpanan Nasional (BSN) Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah perlu diperluaskan ke semua sekolah di seluruh negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sehingga kini lebih 200 buah sekolah telah memanfaatkan modul tersebut dan berharap ia dapat diperluaskan sekurang-kurangnya ke 1,000 sekolah.

Tambah beliau, perluasan modul itu juga sekali gus mampu menjadi pelengkap kepada aktiviti kokurikulum berasaskan kewangan.

“Saya sangat yakin bahwa murid yang celik kewangan akan dapat membuat keputusan kewangan yang bijak pada setiap peringkat kehidupan ke arah meningkatkan taraf hidup masing-masing.

“Ini penting kerana kita perlu sentiasa mendidik anak, kalau mahukan sesuatu mereka perlu simpanlah duit sendiri dan kita tengok dapat ke tidak ganjaran dan sebagainya.

“Langkah ini saya fikirkan cukup signifikan untuk mendidik membuat keputusan kewangan terutama dalam kalangan anak murid dan warga sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Modul Celik Kewangan KPM-BSN Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah di sebuah pusat beli-belah, di sini hari ini.

Pada majlis itu juga, Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu Bagan Serai, Perak, Rosli Omar, 59, diumumkan sebagai pemenang Cabutan Jutawan BSN Sijil Simpanan Premium (SSP) September dengan memenangi RM1 juta hasil penyimpanan secara konsisten sejak 2009.

Tambah Fadhlina, pendidikan kewangan amat penting dalam kehidupan dan ia harus bermula daripada awal untuk membuat keputusan pengurusan kewangan merangkumi simpanan, pelaburan, hutang, risiko, perlindungan dan juga insurans.

“Jadi kena sentiasa berbincang dengan ibu bapa berkaitan susunan perjalanan pendidikan kita dan bagaimana risiko tentang hutang, penstukturan semula sekiranya tidak mendapati biasiswa.

“Semua pelan pendidikan ini kena bermula daripada awal. Tidak boleh bila nak masuk belajar itu terfikir macam mana nak cari (wang perbelanjaan pendidikan). Sebab segala risiko kewangan ini memerlukan perancangan yang rapi dan perancangan masa depan yang kemas.

“Penting juga untuk kita terus mengamalkan perbelanjaan yang berhemah, berjimat cermat dan memastikan bahawa setiap kali kita melakukan proses penyimpanan, pelaburan, menguruskan hutang itu, taraf hidup juga meningkat. Bukan kita bayar hutang, taraf hidup kita tak meningkat langsung,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan BSN, Mujiburrahman Abd Rashid yang turut hadir berkata, pelancaran modul celik kewangan itu adalah hasil usaha sama antara BSN dan guru KPM.

Katanya, ia merupakan komitmen daripada pihaknya untuk menerapkan pengetahuan komprehensif mengenai konsep serta amalan celik kewangan dalam kalangan pelajar sekolah.

“Modul ini akan diedarkan dalam bentuk e-modul ke sekolah di bawah KPM dan dilengkapi dengan elemen-elemen penting seperti simpanan dan pelaburan serta pengurusan hutang yang mudah difahami oleh para pelajar.

“Saya berharap modul ini akan dapat diguna pakai oleh para pelajar bagi membantu mereka menguruskan kewangan secara efisien dan efektif sekali gus membantu membuka mata dan minda para pelajar menguruskan hal-hal kewangan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast