KUANTAN – Kerajaan Pahang bersetuju membiayai kos RM25,000 bagi membawa balik jenazah mangsa pemerdagangan manusia yang maut dalam tahanan Pusat Imigresen di Myanmar, Muhammad Izzat Abdul Wahab.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat Majlis Mesyuarat Kerajaan yang bermesyuarat hari ini.
Kerajaan negeri juga bersetuju untuk memberi sumbangan bagi membantu membawa pulang jenazah Allahyarham ke tanah air untuk dikebumikan di kampung halamannya di Kuantan.
“Kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Izzat Abdul Wahab yang meninggal dunia ketika dalam tahanan imigresen di Pusat Imigresen Tachileik di Myanmar pada 14 Oktober lalu.
“Saya mewakili Kerajaan Negeri Pahang melahirkan rasa sedih atas kejadian yang menimpa arwah. Saya berharap keluarga Allahyarham dapat bersabar atas dugaan berat yang sedang dihadapi ini dan marilah kita berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama-sama orang yang beriman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Rosdy menasihati orang ramai lebih berhati-hati ketika menerima sebarang tawaran bekerja di luar negara dan pastikan kesahihannya terlebih dahulu bagi mengelak menjadi mangsa pemerdagangan manusia.
Sementara itu, keluarga mangsa, Muhamad Asmawi Abdul Wahab, 43, ketika ditemui di Kampung Peramu di sini mengucapkan terima kasih dan keprihatinan kerajaan negeri.
“Terima kasih atas semua pihak yang mebantu termasuk pihak kedutaan, kerajaan negeri, istana kepada keluarga kami. Mohon semua doakan keluarga kami dipermudahkan urusan ke Myanmar bagi proses bedah siasat dan bawa balik Allahyarham Izzat.
“Sehingga kini semua pihak memberi kerjasama, kami sekeluarga terharu atas usaha telah diberikan,” katanya.
Allahyarham Izzat merupakan anak bongsu dari lapan beradik berasal dari Tanjung Lumpur di sini menaiki penerbangan ke Bangkok pada 7 Oktober lalu sebelum diculik ke Myanmar melalui jalan darat pada 11 Oktober.
Mangsa kemudiannya diselamatkan oleh wakil pertubuhan kemanusiaan namun disahkan meninggal dunia ketika dalam tahanan Imigresen di Pusat Imigresen Tachileik di Myanmar pada 14 Oktober lalu.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Nurul Diyana Mohd Shukur, 27 tahun dan dua anak lelaki Muhammad Nu’man dan Muhammad Naqib Anaqi masing-masing berusia enam dan empat tahun. – MalaysiaGazette