Gambar Hiasan

SHAH ALAM – Seorang guru sambilan ditahan reman hari ini selama empat hari bagi membantu siasatan menyediakan dokumen penyata akaun bank palsu.

Guru lelaki yang berusia 40-an itu ditahan 7.10 petang semalam semasa memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor.

Dokumen dipalsukan dibuat bagi memenuhi syarat penilaian kewangan ketika menyertai perolehan secara sebut harga pada 2019 melibatkan kerja-kerja perkhidmatan pembersihan dan penyelenggaraan landskap sebuah bangunan berjumlah lebih RM170,000.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Sasha Diana Sabtu selepas mendapat permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Suspek dipercayai bersubahat dengan seorang pengarah syarikat menyediakan dokumen penyata bank yang mengandungi butir matan palsu, empat tahun lalu.

Pengarah syarikat berkenaan berusia 30-an telah lebih awal ditahan, kira-kira jam 3.30 petang semalam di lokasi sama semasa memberi keterangan.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman guru sambilan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette