Ong Kim Swee.

KUALA LUMPUR – Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee tampil mempertahankan pemain pertahanannya, Dominic Tan, yang menjadi sasaran kecaman selepas Malaysia tumpas di tangan Tajikistan pada final Pestabola Merdeka 2023, Selasa lepas.

Kim Swee menganggap kecaman itu tidak adil kerana seolah-olah tanggungjawab meraih kemenangan hanya terletak di bahu Dominic.

Pemain terbaik dunia, katanya, turut tidak sempurna namun sudah menjadi lumrah apabila pemain pertahanan ataupun penjaga gol melakukan kesilapan mereka akan menjadi sasaran berbanding kegagalan penyerang menyempurnakan peluang di depan gawang.

“Bagi saya, peminat berhak untuk menilai tapi untuk mengkritik sehingga tidak mempunyai satu kelogikan, itu tidak mendatangkan sesuatu yang positif kepada pemain.

“Sebagaimana semua tahu, Dominic telah bersama saya begitu lama, saya percaya beliau seorang individu dengan mentaliti yang kuat dan beliau hadir ke latihan semalam walaupun baru tiba dari Kuala Lumpur selepas bermain dua perlawanan sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Walaupun mempertahankan pemainnya, bekas pengendali skuad kebangsaan berusia 52 tahun itu berkata, Dominic harus belajar daripada kesilapan itu kerana ia berlaku dalam perlawanan penting.

Pada masa sama, Kim Swee berpendapat pemain berusia 26 tahun itu telah beraksi bersama pasukan kebangsaan dengan begitu konsisten sebelum ini dan menyifatkannya sebagai seorang pemain muda yang mampu berkhidmat untuk negara dalam jangka masa panjang.

“Untuk mempertikai prestasi Dominic bagi saya ia mestilah berbaloi dengan apa yang telah dilakukan. Kita tak boleh terlampau mengkritik dan tidak mempedulikan apa yang telah beliau lakukan,” katanya yang pernah membimbing skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan sebelum ini.

Susulan kekalahan 0-2 Malaysia di tangan Tajikistan pada final yang berlangsung di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Dominic menjadi sasaran kecaman peminat dan didakwa sebagai punca kekalahan skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon.

Tidak cukup dipersalahkan atas dua gol yang dibolosi pasukan terutama jaringan kedua, segelintir peminat turut menyamakan Dominic dengan pemain pertahanan England dan Manchester United, Harry Maguire.

Maguire sering menerima kritikan dan dijadikan bahan jenaka kerana prestasi dan aksinya di padang. – Bernama