Takiyuddin Hassan

SHAH ALAM – Parti Islam SeMalaysia (Pas) belum menerima sebarang tawaran terbuka daripada mana-mana pihak untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima tawaran itu secara rasmi khususnya daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tawaran terbuka kepada Times Magazine, tapi kita belum terima (tawaran) apa-apa,” katanya kepada pemberita pada Muktamar Pas Pusat kali ke-69 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, hari ini.

Sebelum ini, Anwar menyatakan beliau pernah menjemput Pas menganggotai Kerajaan Perpaduan pada tahun lalu.

Menurut Perdana Menteri, Pas sebaliknya menolak tawaran itu.

Namun begitu, Anwar memberi ‘jaminan’ tidak akan menghalang kerjasama dengan parti berkenaan jika ia wujud pada masa akan datang.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengesahkan perkara itu ketika ditemu bual Time Magazine yang disiarkan secara dalam talian, 11 Oktober lalu. – MalaysiaGazette