Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang membuat pemantauan rapi terhadap penganut serta pengamal ajaran sesat di negara ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain@Abd Rasid berkata, pihaknya memandang serius penyebaran ajaran sesat yang boleh mendatangkan ancaman keselamatan dan menggugat ketenteraman awam.

“Pemantauan rapi sedang dijalankan oleh polis dalam perkara ini bagi memastikan tiada penganut atau pengamal ajaran sesat yang melangkaui garisan keselamatan dalam negara.

“PDRM juga bekerjasama erat menjalankan siasatan bersepadu dengan pelbagai agensi kerajaan serta Jabatan Agama Islam di setiap negeri bagi membendung kegiatan ajaran sesat dan fahaman terpesong daripada disebarkan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, sepanjang tahun 2022 hingga 2023, sebanyak 51 laporan polis telah direkodkan berhubung aktiviti kumpulan ajaran sesat dan penyelewengan.

Sepanjang tempoh itu, sebanyak 23 tangkapan telah dibuat oleh PDRM dan agensi-agensi berkaitan ke atas pemimpin, pengikut kumpulan ajaran sesat atau menyeleweng.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 20 tangkapan adalah melibatkan Tarekat Habib Shah dan masing-masing satu tangkapan bagi ajaran ilmu akhir zaman, Nur Mutiara Mutmainnah (NMM) dan Suhaini @SiHulk.

“Buat masa ini, PDRM sedang memantau rapi enam kumpulan ajaran sesat yang menarik perhatian keselamatan iaitu Tarekat Habib Shah, Dewan Perkasa Ekonomi Islam Nusantara (DPEIN), Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT), Millah Abraham@Ibrahim (MA), Ajaran Suhaini @ SiHulk, Nur Mutiara Mutmainnah (NMM) dan The Ahmadi Religion of Peace and Light.

“Demi ketenteraman dan keselamatan awam, PDRM akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi di bawah peruntukan Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, sekiranya terdapat penganut atau pengamal ajaran sesat yang dikesan membuat sebarang tindakan atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan kegusaran awam, suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan yang boleh memudaratkan tahap keselamatan,” tegasnya.-MalaysiaGazette