Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

PEKAN – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru agar rakyat di negara ini mengadakan solat hajat hari ini bagi mendoakan keselamatan rakyat Palestin.

“Di hari Jumaat ni, saya harap kita semua melakukan sembahyang hajat dan mendoakan kepada Allah supaya rakyat Palestin dan bumi Palestin dapat dipertahankan khususnya kawasan Masjid Al- Aqsa,” titah baginda.

Seri Paduka bertitah demikian dalam Majlis Penyerahan Replika Kunci Rumah Ru’Rasa di Kampung Pahang Tua di sini hari ini.

Seri Paduka menyeru seluruh rakyat di negara ini agar bersyukur dengan kesejahteraan dan kemakmuran yang dinikmati berbanding situasi genting di tanah Palestin.

“Sekadar mana yang kita mampu, kita bantulah dan beri sedikit bantuan dari segi kewangan, peralatan, pakaian supaya ia dapat meringankan bebanan yang dirasai oleh rakyat Palestin. Dan saya percaya Allah akan sentiasa memberi rahmat kepada mereka semua ini,” titah baginda lagi.

Konflik Palestin semakin parah dan angka korban semakin bertambah susulan peningkatan keganasan bertalu-talu rejim zionis terhadap penduduknya sejak awal bulan ini.

Semalam, difahamkan pusat perubatan utama Gaza, Hospital Al-Shifa hanya mempunyai bekalan bahan api yang mencukupi untuk menjalankan jenteranya selama 24 jam. – MalaysiaGazette