KUALA LUMPUR – Tiada lagi penggunaan kalungan bunga mahu pun selempang lagi.
Taktik baharu sebuah pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama di sini kini menggunakan gelang magnet tangan mengikut warna sebagai tip kepada gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing yang dipilih pelanggan.
Warna lampu pada gelang magnet tangan menjadi tanda harga yang diberikan oleh kepada gadis GRO warga asing tersebut.
MalaysiaGazette yang mengikuti operasi Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman lewat malam tadi mendapati tip yang diterima oleh setiap GRO bermula serendah RM100 untuk melayan minum dan berkaraoke bersama pelanggannya.
Di lokasi serbuan itu, seorang wanita warga tempatan yang disyaki berperanan sebagai ibu ayam bagaimanapun enggan mengaku penglibatannya apabila disoal siasat.
“Saya datang sini baru tiga kali dan saya tak tahu. Betul encik, saya datang sini bersama kawan, saya bukan mummy, percayalah..kenapa saya perlu tipu kepada encik,” katanya.
Hasil risikan polis sebelum menggempur premis itu mendapati wanita itu dipercayai memainkan peranan sebagai ibu ayam kerana dia akan menyediakan gelang-gelang magnet itu untuk dipakai kepada gadis GRO yang dibayar tip oleh pelanggan.
Dalam pada itu, Ketua Penolong Pengarah D3 Atipsom JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, premis itu diserbu menerusi Op Pintas Pusat Hiburan yang dijalankan dengan kerjasama Majlis Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) dan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) JSJ Bukit Aman.
Katanya, dalam serbuan itu, seramai 38 orang pelanggan telah diperiksa yang terdiri daripada 24 lelaki dan lima wanita tempatan.
“Hasil pemeriksaan dan soal siasat lanjut berjaya membawa kepada penahanan seramai 23 wanita warga asing yang disyaki berperanan sebagai GRO terdiri 21 orang Thailand dan dua Indonesia.
“Selain itu, hasil pemeriksaan dan siasatan lanjut berjaya membawa seorang wanita tempatan yang dipercayai berperanan sebagai ibu ayam dan dua lelaki tempatan dan tiga lelaki warga Bangladesh,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Tambah Fadil, kesemua wanita GRO yang ditahan itu adalah berusia lingkungan antara 21 hingga 52 tahun.
Jelasnya lagi, premis itu merupakan pusat hiburan pub dan karaoke serta siasatan awal mendapati ia dipercayai telah beroperasi lebih kurang dua bulan.
Kesemua yang ditahan itu sedang disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.-MalaysiaGazette